Home Nasional Taska berdaftar JKM layak terima 20 peratus diskaun elektrik

Taska berdaftar JKM layak terima 20 peratus diskaun elektrik

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yb Hannah Yeoh (tiga kanan) bersalaman dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (tiga kiri) pada sidang media mengenai Program Galakan Pendaftaran Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui pemberian diskaun bil eletrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pemberani diskaun  sebanyak 20 peratus pada bil elektrik pengusaha taman asuhan kanak-kanak mulai 1 November ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menterian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, diskaun yang diberikan itu hanya layak diterima oleh pengusaha taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pemberian ini adalah berdasarkan keprihatinan Kerajaan terhadap keperluan untuk memantau pengoperasian taska di Malaysia yang mana sehingga Ogos 2019, hanya terdapat 4,744 buah taska sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya hari ini.

Hannah berkata demikan dalam sidang media selepas menghadiri Program Galakan Pendaftaran Taman Asuhan Kanak-kanak di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Jelas Hannah lagi, langkah itu diambil bagi meningkatkan pendaftaran taska kanak-kanak yang kini berada pada tahap 11.9 peratus sahaja berbanding sasaran 40,000 pendaftaran sebelum ini.

Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi pengusaha taska untuk mendapatkan diskaun berkenaan adalah dengan mendaftar taska masing-masing dengan JKM dan menggunakan bil elektrik komersial (Tarif B) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Taska di rumah kadang-kadang ada yang mendaftar dengan JKM tapi bil elektrik mereka bukan komersial, jadi mereka tidak layak untuk mendapatkan diskaun ini.

“Diskaun ini diberikan kepada pengusaha taska yang berdepan dengan kos yang tinggi.

“Tidak masuk akal untuk pengusaha taska di rumah untuk tukar bil elektrik komersial. Itu sudah murah buat mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi diskaun elektrik terbabit.

“Diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus ini adalah daripada penjimatan mekanisme Insentif Based Regulation (IBR) di Semenanjung dari 2018 sehingga 2020.

“Jika semua 40,000 mendaftar kos yang akan ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM10 juta,” katanya.

Pemberian diskaun akan bermula pada 1 November 2019 sehingga 31 Disember 2020. -MalaysiaGazette