KUALA LUMPUR – Syarikat e-hailing Dacsee kini dalam usaha menyediakan pengalaman terbaik untuk dirasai oleh pengguna-penggunanya.
Bagi tujuan itu syarikat tersebut melancarkan komuniti “Fresher Air” atau sistem pengudaraan lebih segar dalam setiap kenderaan yang disediakan.
Dacsee menjalin kerjasama dengan peneraju pengeluar pendingin hawa di Malaysia, Acson bagi melengkapkan kenderaan Dacsee di Lembah Klang dengan penapis udara yang dipasang di dalam kenderaan e-hailing itu.
Bermula 25 September lalu, komuniti Dacsee akan dapat melihat paparan logo Acson pada aplikasi telefon pintar di sekitar Lembah Klang.
Ikon itu sebagai representasi kepada komuniti ‘Fresher Air’ atau kenderaan yang dilengkapi penapis udara berkenaan.
Apa yang perlu dilakukan oleh komuniti adalah membuat pesanan lazim melalui aplikasi Dacsee dan jika kenderaan dilengkapi penapis udara Acson berhampiran, logo akan dipaparkan sebagai pilihan perjalanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dacsee, Lim Chiew Shan berkata, pengenalan komuniti terbaharu ini adalah salah satu usaha Dacsee menyediakan komuniti lebih khusus terhadap keperluan penggunanya.
Katanya, komuniti khusus yang turut diwujudkan untuk pengguna adalah Lady Driver, Friendly Driver, Quiet Driver dan Preferred Driver.
Ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak lagi pengkhususan komuniti, ujarnya.
“Seiring dengan slogan syarikat, ‘Pengalaman Ceria Dalam Perjalanan’ atau Finding Joy In Your Journey, Dacsee yakin, usaha mewujudkan komuniti khusus ini adalah penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif ketika melakukan perjalanan terutama di ibu kota.
““Tatkala kita tak mampu mengubah keadaan jerebu di sekeliling kita dengan cepat, kita berupaya menyediakan kualiti udara lebih baik setiap hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut merakam jutaan terima kasih kepada Acson yang merealisasikan hasrat itu untuk komuniti udara lebih segar ini.
“Kami harap perjalanan anda selepas ini akan lebih kondusif dengan sistem pengudaraan lebih baik,” ujarnya.
Pada masa ini, Dacsee menyediakan 12 kenderaan yang dilengkapi penapis udara Acson dan merencanakan untuk membuat pertambahan kepada sehingga 50 kenderaan dalam tempoh sebulan. – MalaysiaGazette