Home Nasional Heret penyerang Adib ke muka pengadilan – KP bomba

Heret penyerang Adib ke muka pengadilan – KP bomba

Mohammad Hamdan Wahid

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berharap individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan.

Kenyataan itu dibuat oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid selepas keputusan inkues pagi ini memutuskan anggota bomba berusia 24 tahun itu mati akibat dipukul dan diserang pihak ketiga.

“Tahniah kepada barisan panel peguam Allahyarham. Allah jua dapat membalasnya.

“Jabatan berharap agar proses seterusnya berhubung kes ini akan dilaksanakan berteraskan prinsip keadilan supaya individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Allahyarham dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada semua lapisan masyarakat di atas keprihatinan, sokongan dan dukungan yang berterusan dan tidak berbelah bahagi dalam mendoakan agar kes inkues Muhammad Adib dijalankan dengan baik dan keadilan ke atas Allahyarham diberi sewajarnya.

“Allahyarham Muhammad Adib adalah simbol yang melambangkan kesetiaan,komitmen, pengorbanan dan dedikasi seluruh penjawat awam dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.

Mahkamah Koroner juga menyerah kepada Peguam Negara dan polis untuk melakukan pendakwaan.

Mahkamah turut menyalahkan pihak FRU dan polis yang gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib.

Koroner Rofiah berkata, Allahyarham Muhammad Adib telah diheret keluar dari jentera EMR.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.- MalaysiaGazette.