NEW YORK – Malaysia mungkin menyenaraikan anak syarikat Petronas dalam Bursa Malaysia bagi menarik lebih ramai pelabur ke pasaran saham tempatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, Petronas Carigali Sdn Bhd, unit hulu dalam syarikat minyak Fortune 500 negara, mungkin salah satu daripadanya tetapi ada juga syarikat lain yang berpotensi.
BH Online dalam laporannya berkata, dalam satu dialog bersama pengurus dana di ibu pejabat JP Morgan, di sini, semalam, Dr Mahathir dimaklumkan bahawa ramai pelabur percaya bahawa penyenaraian Petronas atau Carigali mampu merangsang bursa tempatan.
“Kita melihatnya sebagai satu kemungkinan tetapi pada masa ini, kita merasakan bahawa menjual saham Petronas tidaklah baik kerana kita mahu Petronas menyokong kerajaan. Mungkin pada peringkat seterusnya kita boleh mempertimbangkan perkara itu.
“Namun, apa yang kita persetujui ialah untuk beralih kepada anak syarikat. Kita boleh menjual saham dalam subsidiari kerana ia tidak akan banyak menjejaskan Petronas. Satu daripadanya ialah Carigali tetapi ada juga beberapa yang lain,” katanya.
Perbincangan pasaran mengenai penyenaraian Carigali diperkatakan beberapa kali sejak beberapa tahun lalu, namun tidak pernah menjadi kenyataan.
Pada 2010, penganalisis menganggarkan unit penerokaan dan pengeluaran Petronas berpotensi memiliki modal pasaran hingga RM150 bilion.
Ditanya kemungkinan kerajaan akan turut menggalakkan Khazanah Nasional Bhd untuk terus menjual pegangan sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Dr Mahathir berkata, kerajaan mahu mengekalkan beberapa kawalan dalam industri strategik tertentu yang memberi pulangan menguntungkan.
“Kita selalu percaya bahawa kerajaan tidak sepatutnya terbabit dalam perniagaan. Kita tidak bagus mengenainya. Lebih baik perniagaan itu dijalankan oleh ahli perniagaan sendiri. Ini masih menjadi dasar kita dan kita menjual banyak syarikat yang dimiliki Khazanah,” katanya.
Mengenai janji kerajaan dalam manifesto pilihan raya lalu untuk membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak pula, Dr Mahathir berkata, angka itu perlu dikaji semula supaya tidak menjejaskan Petronas.
“Ada banyak perkara dalam manifesto yang dibuat tanpa mengetahui masalah sebenar. Sekarang kita dalam kerajaan, kita mendapati jika memberikan 20 peratus kepada dua negeri itu, Petronas tidak akan lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa.
“Kita perlu merayu kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak bahawa ia benar-benar tidak berkesan. Mereka juga prihatin. Mereka tidak mahu membunuh Petronas tetapi pada masa sama, mahukan lebih banyak wang. Jadi, kita cuba berusaha bagaimana boleh memberi mereka wang tanpa menjejaskan kekuatan Petronas sendiri,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Petronas adalah pembiaya terbesar dalam kerajaan menerusi dividen dan bayaran cukai yang digunakan untuk membantu membayar hutang negara.
Mengenai jangkaan pelabur daripada Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan bulan depan, Perdana Menteri berkata, dasar baharu kerajaan, Wawasan Kemakmuran Bersama akan memaparkan perancangan ekonomi dari sekarang.
“Kita mahu berkongsi kemakmuran antara bandar dan negara, antara negeri dan negeri, antara kaum berbeza serta antara kaya dan miskin.
“Jurang perbezaan ini perlu dikurangkan dan ini perlu dilihat dalam belanjawan akan datang. Ini bermakna sudah pastinya kita akan memberikan sedikit kepada yang lebih makmur dan banyak kepada yang kurang makmur,” katanya. – MalaysiaGazette