Home Sukan Yashir terkejut jaringan luar biasa

Yashir terkejut jaringan luar biasa

KUALA LUMPUR – Pemain import PKNP, Yashir Pinto Islame menganggap jaringan yang dilakukan ketika berdepan Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Rabu lalu melalui teknik sepakan robana antara salah satu gol terbaik dalam kariernya sebagai pemain.

Tambah pemain antarabangsa Palestin ini, dia sama sekali tidak menduga teknik yang dilakukannya tiap kali pada sesi latihan akhirnya menjadi pada situasi perlawanan sebenar.

Bagaimanapun, jaringan luar biasa itu masih belum dapat memadamkan kekecewaannya membantu PKNP yang tewas 1-2 di laman sendiri sekaligus gagal membawa sebarang bekalan ke Alor Setar.

“Cukup istimewa, sukar hendak saya hendak gambarkan jaringan itu walaupun saya ada lakukannya pada sesi latihan cuma untuk lakukan pada perlawanan sebenar, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Malah, cara bola itu menerjah ke jaring cukup cantik dan terus terang saya ia kekal sebagai detik gol paling teristimewa dalam karier saya.

“Saya tahu ramai sedang memperkatakan jaringan saya ini antara terbaik dalam saingan liga setakat ini dan sekurang-kurangnya saya sudah ada detik teristimewa untuk saya kenang bersama PKNP.

“Bagaimanapun, saya tidak begitu gembira sepenuhnya kerana tewas kepada Kedah yang bangkit pada babak kedua dan kami kena perbaiki tahap fokus selepas ini pada situasi sepakan penjuru dan percuma jika mahu bangkit di Darul Aman, “ katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Yashir menjaringkan gol pembukaan pada minit 37 selepas mendapat hantaran daripada pemain bawah 18 tahun negara, Mukhairi Ajmal.

Kedah membalas pada separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Fernando Rodriguez pada minit 49 dan gol kemenangan disumbangkan David Rowley, pada minit ke-73. – MalaysiaGazette