Home Nasional Boleh tawar harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru

Boleh tawar harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru

Khalid Abdul Samad

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyatakan bahawa ia terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat pemilikan dipatuhi iaitu milik orang Melayu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh KWP.

“Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan pernilaian yang dilakukan secara profesional.

“Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Saya yakin berdasarkan penilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata, jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, beliau akan pastikan KWP dan Perbadanan Kampung Baru memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga yang ditawarkan.

“Saya yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru,” katanya. – MalaysiaGazette