Home Utama Hanya 4,422 lulus permohonan warga negara Malaysia

Hanya 4,422 lulus permohonan warga negara Malaysia

Bangunan Kementerian Dalam Negeri. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya meluluskan 4,422 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia sepanjang tempoh dari Mei 2018 hingga 15 September tahun ini.

Jumlah yang diluluskan itu daripada sebanyak 19,788 permohonan yang diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Oleh itu, dakwaan pemilik akaun Twitter ‘TengkuRajaAlamShah’ berkaitam 200,000 penerima sijil kewarganegaraan baru ikrar balas budi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar.

KDN meminta pemilik akaun Twitter itu tampil untuk membuktikan dakwaan beliau adalah sahih dan bukan tohmahan semata-mata.

Tegas KDN, hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan mengemukakan dokumen-dokumen lengkap layak memohon taraf kewarganegaraan.

Katanya, pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan penganugerahan tertinggi oleh Kerajaan Malaysia dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa menghentikan penyebaran maklumat tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan orang awam.

Kerajaan, katanya, tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang ditularkan. – MalaysiaGazette