KUALA LUMPUR – Warganet hari ini mengingatkan semula Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengenai kata-kata yang pernah diucapkan beliau mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu komen di Facebook milik Khairuddin, Muhammad Hafiz Rayyan berkata, Khairuddin mungkin sudah lupa bahawa dirinya pernah menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar untuk membebaskan Presiden PKR itu daripada Penjara Sungai Buloh.
“Teringat lagi masa kita sama2 nak menang PRU haritu. Sepatut dah tahu Anwar tak relevant jgn la kempen bebaskan Anwar.
“Apa la awak ni. Awak buat mcm ni seolah awak juga perlukan pengaruh anwar untuk jatuhkan BN haritu. Eee piat telingat nanti,” komen beliau di Facebook milik Khairuddin.
Sebagai ingatan, Muhammad Hafiz memuat naik video yang menunjukkan Khairuddin akan menjadi orang pertama yang menyokong kebebasan Anwar pada 2016.
Video itu muatnaik KiniTv pada 23 April 2016 berjudul ‘Khairuddin: Saya jadi orang pertama dari Umno sokong bebaskan Anwar’.
“Jika ada sebarang gerakan untuk melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya akan menjadi orang pertama dari Umno untuk menghadiri gerakan itu tanda sokongan, ” kata Khairuddin yang ketika itu adalah bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan.
Awal hari ini, Khairuddin menyelar Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Syed Ali yang sangsi pada keikhlasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu juga menyifatkan individu yang membangkitkan isu peralihan kuasa veteran PKR sebagai golongan yang “kurang otak”.
“Mereka ini kalangan kurang otak kerana baru setahun Tun Dr Mahathir Mohamad pegang jawatan perdana menteri; mereka sudah sibuk untuk bercakap mengenai PM8!” katanya dalam kenyataan. -MalaysiaGazette