Home Nasional 429 ditahan hisap dadah di pusat hiburan

429 ditahan hisap dadah di pusat hiburan

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 429 pengunjung kelab malam yang disyaki  menyalahgunakan dadah di pusat-pusat hiburan ditahan dalam sebuah operasi di sekitar ibu negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata, operasi yang dipanggil Ops Rats itu dilakukan dalam usaha membanteras masalah penyalahgunaan pusat hiburan oleh pengunjung kelab malam dengan pengambilan dadah.

Katanya, sebanyak 22 pusat hiburan diperiksa dalam operasi selama dua hari itu dan polis telah menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas 1,350 orang pengunjung.

“Saringan awak ke atas 275 orang yang diperiksa didapati positif dadah manakala 154 orang lagi yang diperiksa memiliki dadah bersama mereka.

“Terdapat 35 orang warga negara asing yang ditahan turut positif dadah,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kata Mohd. Khalil, semua yang ditangkap berusia 18 hingga 41 tahun dan kini direman dibawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di Bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, antara dadah yang dirampas daripada pemiliknya dalam operasi itu iaitu methapetamine, ketamin, morphine, ganja dan air ketum yang bernilai RM4,0126.65.

Dalam pada itu, beliau berkata, turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang anggota polis berpangkat konstabel yang didapati positif ketika ujian air kencing dilakukan ke atasnya.

“Dalam polis kita tak kira siapa mereka, jika kamu guna dadah bola pergi ke kelab-kelab malam kita akan ambil tindakan tangkap kamu,” tegasnya.

Katanya lagi, langkah yang dilakukan oleh pihaknya itu adalah bagi membasmi kegiatan dadah di ibu negara terutama di kelab malam dan pusat hiburan sejajar dengan matlamat pasukan berkenaan iaitu mahukan Malaysia Bersih Dadah. – MalaysiaGazette