KUALA LUMPUR – Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling mendedahkan terdapat segelintir pihak yang mahu kewarganegaraan Malaysia tetapi menolak bahagian lain dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 3.
Beliau berkata, lebih parah penolakan itu bukan sahaja melibatkan hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam bahkan mereka menghina dan mempertikaikannya secara terbuka tanpa rasa tanggungjawab.
“Mereka mahu menjadi warganegara Malaysia tetapi tak nak terima bahagian lain dalam Perlembagaan.
“Bahasa kebangsaan tak diterima, kedudukan istimewa Melayu tak nak terima, kedudukan kebudayaan Melayu tak nak terima.
“Apatah lagi Raja sebagai ketua negara pun tak nak terima, padahal mereka menjadi warganegara Malaysia di atas Perlembagaan sama.
“Apabila mereka mendapat kerakyatan itu, menjadi tanggungjawab bukan saja menerima keseluruhan Perlembagaan bahkan menghormati segala peruntukannya dengan tidak memandang remeh dan mengecil-kecilnya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Zainal, segala persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah cuba mencabar kesabaran orang Melayu sedangkan hak bangsa dan kaum lain tidak pernah terjejas meskipun hak keistimewaan Melayu dijamin Perlembagaan.
“Kebanyakan persoalan yang muncul itu kelihatan bukan saja merendahkan Melayu bahkan mereka mempersoalkan kebumiputeraan Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Malaysia, merendah dan mempersoalkan agama Islam,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengembalikan maruah Melayu, pihaknya bersama empat universiti tempatan bergabung tenaga menganjurkan Kongres Maruah Melayu bagi menjawab segala persoalan berkaitan dengan bangsa dan kedudukan orang Melayu di negara ini.
“Kita mahu mengadakan Kongres Maruah Melayu kerana segala persoalan yang ditimbulkan sudah mencabar maruah bangsa Melayu di Tanah Melayu, di Malaysia bukan saja tercabar malah dipermainkan, direndah-rendahkan dan diremehkan,” tambah beliau.
Katanya, penganjuran kongres itu hanya melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Jelasnya, pembabitan empat universiti berkenaan dalam kongres itu disebabkan mereka mempunyai institusi yang mengkaji tentang masyarakat dan kebudayaan Melayu.
“UiTM misalnya mempunyai Institut Pemikiran Melayu, UM pula mempunyai Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, UPSI mempunyai Institusi Tamadun Melayu dan UPM pula mempunyai Muzium Warisan Melayu.
“Jadi pusat-pusat pengajian Melayu ini bergabung untuk menjawab pelbagai persoalan yang telah muncul berkaitan dengan bangsa Melayu, kedudukan Melayu di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat univerisiti berkenaan akan membincang dan membentangkan resolusi merangkumi empat aspek utama iaitu politik, ekonomi, agama dan budaya.
Tambahnya, empat universiti berkenaan akan menjawab semua persoalan yang timbul menggunakan pendekatan secara akademik dan bukannya emosi.
“Kita ingin menjawab persoalan ini dengan cara terbuka, dengan cara ilmiah dan bukannya dengan cara emosi.
“Kita sudah memikirkannya dengan mendalam dalam beberapa bidang tertentu supaya setiap warganegara Malaysia memikirkan kembali kedudukan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette