Home Nasional ‘Raatchasi’ bakal ditayang semula

‘Raatchasi’ bakal ditayang semula

Pengedar Filem Raatchasi di Malaysia, Veera Segar bercakap kepada media ketika hadir Majlis Tayangan Perdana Filem Raatchasi di TGV CINEMA Setia Walk,Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

PUCHONG – Pengedar tunggal filem Tamil Raatchasi di Malaysia, DMY Creations Sdn.Bhd. merancang menayang semula filem popular lakonan Jyotika secara besar-besaran di negara ini.

Pengurus Besarnya, Veera Segar berkata, beliau menerima banyak permintaan agar filem itu ditayang semula.

“Kami bangga dengan segala pujian dan sambutan luar biasa penonton dan masyarakat pelbagai kaum menonton sejak ditonton dan diviralkan oleh Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik dalam twitter dan Facebooknya.

“Ia satu batu loncatan untuk syarikat kami selaku pengedar tunggal di negara ini kerana dapat menyampaikan kandungan filem berunsur kemasyarakatan kepada rakyat di negara ini.

“Filem Raatchasi memang blokbuster dari segi kutipan di negara ini dan lebih menggembirakan ramai meminta untuk ditayang semula sejak Maszlee berkongsi mesej tersirat di sebalik filem itu sehingga beribu orang menyukainya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Setia Walk Mall di sini.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan rakyat, beliau sedang berbincang dengan pengusaha pawagam di negara ini untuk menayangkan semula filem yang keluarkan pada pertengahan Julai lalu.

“Menteri sendiri begitu bersemangat ajar warga pendidik menonton filem dan menggunakan mesej untuk pembangunan pendidikan di negara ini.

“Sebagai menyahut seruan itu, kami tengah berbincang pengusaha pawagam tempatan Golden Screen Cinema (GSC) dan Tanjung Golden Village (TGV) mengenai tayangan semula Raatchasi di seluruh negara.

“Saya harap semua memberi persetujuan ke arah inisiatif menayangkan semula filem itu di semenanjung Malaysia dan dalam tiga hari lagi akan dapat keputusan baik hasil perbincangan dengan kedua dua entiti hiburan terbesar berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette