Home Nasional Tun M hanya tetamu kehormat, bukan penganjur

Tun M hanya tetamu kehormat, bukan penganjur

Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling bercakap pada sidang media mengenai Kongres Maruah Melayu di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Keberadaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober ini hanyalah sebagai tetamu kehormat dan atas kapasiti sebagai seorang pemimpin Melayu semata-mata.

Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling mengesahkan perkara tersebut dan Dr Mahathir juga diundang untuk menyampaikan amanat khas mengenai perpaduan orang Melayu.

“Beliau hadir sebagai tetamu kehormat, memang kita khusus undang beliau secara langsung permintaan kita ini supaya kita tidak lagi menghantar memorandum yang kandang-kala tidak dilayan.

“Tetapi elok kita bersemuka dengan pemimpin negara dan mudah-mudahan persemukaan itu akan memberi kita satu akses terhadap memenuhi tuntutan kita ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) bersama tiga univerisiti tempatan lain iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kongres itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Selangor pada Ahad ini, bermula jam 8.00 pagi.

Kongres ini juga mensasarkan sehingga 20,000 peserta dibuka hanya kepada orang Melayu tanpa mengira fahaman politik sama kerajaan mahupun pembangkang.

Dalam pada itu, penganjuran kongres kali ini berbeza berbanding sebelum ini yang mana tiada ahli panel akan berucap, sebaliknya setiap universiti terbabit akan membentang resolusi masing-masing.

“Pada akhirnya kita akan ada satu sumpah setia Melayu, ahli panel tiada, kelompok-kelompok kecil ini akan membentangkan resolusi masing-masing.

“Semua resolusi ini akan berlandaskan Perlembagaan kerana kita melakukan semua ini berteraskan undang-undang Perlembagaan dan peruntukan sedia ada,” katanya.

Katanya, walaupun kongres itu bukan anjuran parti politik, namun pihaknya menggunakan saluran politik bagi memastikan penyatuan orang Melayu boleh dicapai melalui pengaruh Dr Mahathir dan parti politiknya.

“Kita menggunakan saluran politik kerana kita fikir kalau pihak universiti bertindak sendirian tiada maknanya sebab yang berkuasa itu politik.

“Kita menggunakan saluran politik yang ada kaitan dengan Perdana Menteri.

“Jadi parti politik itu tidak terlibat, kita hanya gunakan saluran politik agar dapat mendekati Perdana Menteri.

“Kita menggunakan rakan-rakan yang mempunyai pengaruh politik untuk menyampaikan hasrat kita ini.

“Dengan cara itu kita tidak lagi dikerah oleh Perdana Menteri tapi mengembleng saluran itu supaya dapat menyampaikan hajat kita dan permintaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette