KUALA LUMPUR – Runway 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjalani kerja-kerja pemulihan mulai jam 1 pagi esok.
Kerja-kerja ini dilaksanakan mengikut Rancangan Induk Kemampanan Runway.
Runway 3 akan menjalani penutupan sebahagiannya dan waktu malam selama 9.5 bulan akan datang sehingga 15 Julai 2020.
Kerja-kerja itu akan menangani isu-isu laluan kasar yang dikenal pasti melalui analisis Boeing Bump Index.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin, pihaknya telah mengambil semua langkah yang perlu dengan memaklumkan semua pihak terlibat sebelum ini, terutama rakan kongsi penerbangan, untuk memastikan perjalanan penumpang tetap lancar sepanjang inisiatif serta untuk mengurangkan gangguan dalam operasi dan pengurusan penerbangan syarikat penerbangan.
Pilihan berhubung kerja-kerja penyelenggaraan itu telah dipersetujui oleh semua pemegang kepentingan, termasuk syarikat penerbangan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Inisiatif ini untuk menaik taraf landasan adalah penting untuk memastikan tahap keselamatan dan perkhidmatan berterusan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Dengan melakukan ini, tumpuan kami juga untuk memastikan pelan perjalanan penumpang tidak terganggu.
“Inilah sebabnya mengapa kami membuat pengumuman satu tahun lebih awal dan mengadakan sesi perbincangan dengan rakan kongsi syarikat penerbangan kami dan (CAAM) selama 12 bulan terakhir supaya syarikat penerbangan boleh merancang jadual penerbangan mereka dengan sewajarnya dan mengelakkan pembatalan minit terakhir yang boleh menyebabkan kesulitan kepada penumpang.
“Sebaik sahaja kerja-kerja selesai di Runway 3, kami akan meneruskan kerja naik taraf untuk Runway 1 dan 2, masing-masing pada tahun 2021 dan 2023,” katanya. – MalaysiaGazette