Home Nasional Lebih 2,000 banduan berisiko tinggi, 116 tahanan radikal di penjara

Lebih 2,000 banduan berisiko tinggi, 116 tahanan radikal di penjara

Datuk Seri Zulkifli Omar

KAJANG – Lebih 2,000 banduan berisiko tinggi dan 116 tahanan radikal sedang menjalani hukuman di semua institusi penjara ketika ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata, kesemua mereka diwajibkan mengikuti Program Pembangunan Insan yang dikendalikan pegawai penjara terlatih.

“Program pemulihan dan pengintegrasian banduan dan tahanan radikal di penjara dilaksanakan bermula hari pertama ditahan sehingga dibebaskan dengan menggunakan pendekatan berhemah dan diplomatik dalam mengubah ideologi,” katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kolokium dan Bengkel Mencegah/Menentang Keganasan melampau dan Radikalisme di Penjara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak penjara turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pengkategorian dan pengasingan penempatan dalam usaha memulihkan banduan serta tahanan radikal itu.

“Banduan atau tahanan radikal dikategorikan kepada tiga iaitu maksimum, medium dan minimum.

“Pengkategorian ini berasaskan beberapa faktor seperti maklumat penglibatan dari Polis Diraja Malaysia, fakta kes, laporan risikan dan tahap agresif banduan,” katanya.

Zulkifli berkata, ujian psikologi akan dilaksanakan kepada banduan atau tahanan untuk menentukan tahap kesediaan mereka bagi mengikuti program pemulihan.

“Bagi tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA), penilaian terhadap pencapaian dalam program pemulihan dilakukan secara bersama tiga agensi iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Kolokium dan bengkel selama tiga hari bermula hari ini dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan. – Bernama