Home Politik Tarikh PRK Tanjung Piai sama dengan PAU, adil ke SPR?

Tarikh PRK Tanjung Piai sama dengan PAU, adil ke SPR?

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyindir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sama pada hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 diadakan.

Menerusi ciapan twitternya, beliau berseloroh menyifatkan pengumuman tarikh itu sebagai tindakan adil dan telah dijangka.

“Ha..ha. SPR bijak dan adil molek memilih tarikh PRK sewaktu UMNO sedang mengadakan PAU di KL. Sudah diduga tarikh itu yang akan dipilih,” tulisnya.

PAU 2019 dijadualkan akan diadakan pada 13–16 November ini.

SPR hari ini menetapkan 2 November ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 16 November ini.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka pula pada 1 Oktober dan tarikh tutup permohonan 31 Oktober.

PRK Parlimen tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Wira Dr. Md Farid bin Md. Rafik pada 21 September lalu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Tanjung Piai: 2 Nov penamaan calon, 16 Nov hari mengundi