KUALA LUMPUR – Nasib Permodalan Nasional Berhad (PNB) diharapkan tidak serupa dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang aset-asetnya dilupuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menaruh harapan agar agihan dividen terendah yang diumumkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) baru-baru ini, tidak dialami oleh Amanah Saham Bumiputera yang diuruskan oleh PNB.
“Saya berharap agar Permodalan Nasional Berhad tidak menerima ‘nasib’ yang sama seperti Khazanah Nasional Berhad dan Tabung Haji. Kita tunggu nasib Amanah Saham Bumiputera (ASB). Berapakah dividennya nanti?,” katanya dalam satu kenyataan.
Isnin lalu, LTAT mengumumkan dividen paling rendah iaitu sebanyak 2% untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018.
Ismail Sabri berkata, kerajaan PH ibarat lempar batu sembunyi tangan apabila tanpa segan silu masih mahu memperbodohkan orang ramai dengan menyalahkan kerajaan BN.
Katanya, semasa pentadbiran BN, LTAT pernah mengagihkan dividen 16% pada tahun 2012 dan 2013 manakala paling minumum adalah 12% iaitu pada tahun 2015 dan 2016.
Manakala bagi tahun 2017 pula dividen diagihkan sebanyak 12.5%.
Ujarnya, Tabung Haji yang dulunya mengagih hibah lebih dari 6%, tahun lepas, tetapi hanya 1.25% sahaja pada tahun ini.
“Yang hairannya Boustead Holdings yang merupakan aset terbesar LTAT telah menjual Hotel Royal Chulan di Bukit Bintang kepada syarikat Singapura. Ke mana perginya wang jualan tersebut? Tidakkah jualan tersebut untuk menambah pendapatan yang sepatutnya dipulangkan kepada ahli LTAT melalui dividen yang tinggi?
“Siapa lagi yang masih percaya? Sudahlah manifesto hanya untuk umpan undi, hari ini satu persatu aset kerajaan dijarah oleh mereka,” katanya.
Ismail Sabri percaya anggota dan pesara tentera pastinya amat terkilan dan sedih dengan berita ini, apatah lagi setelah beberapa kali anggota tentera kita diasak dengan pelbagai isu, sehingga khidmat mereka menjaga keselamatan negara dinafikan. – MalaysiaGazette