KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil semula individu yang pernah ditahan berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, sekiranya mendapat petunjuk baharu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya menahan 12 individu sebelum ini untuk membantu siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pihak polis akan teruskan siasatan dan jika ada keterangan lain yang menyokong (siasatan kes itu), polis akan panggil mereka semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini seperti dilaporkan Bernama.
Ditanya kemungkinan 12 individu itu melarikan diri, beliau berkata tiada sebab untuk mereka melarikan diri.
“Saya tak nampak isu mereka ingin larikan diri kerana polis telah jalankan siasatan dan mendapati tiada keterangan jelas untuk kaitkan 12 individu ini dengan kejadian itu.
“Jadi tiada sebab untuk mereka melarikan diri ke luar negara dan saya minta semua pihak untuk tidak keluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Pada Jumaat Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengulas isu yang sama berkata, pihak akan memanggil sesiapa sahaja yang berkemungkinan mempunyai maklumat yang boleh membantu polis melengkapkan kertas siasatannya yang masih berjalan.
“Tindakan memanggil semua saksi yang berkaitan kes ini tidak tertakluk kepada empat suspek awal sahaja yang pernah dirakam keterangan oleh polis dan dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah.
“Sebaliknya siasatan menyeluruh akan dilakukan polis termasuk memanggil sesiapa sahaja yang dikenalpasti terbabit dalam kes ini,” katanya.
Ditanya kenyataan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bahawa pihaknya akan menunggu laporan siasatan penuh daripada PDRM sebelum menyelesaikan kes Adib seadil-adilnya dalam memasktikan pelaku tidak terlepas daripada muka pengadilan, Mazlan menjelaskan, tidak ada tempoh masa untuk melengkapkan siasatan kes itu. – MalaysiaGazette