Home Dunia Petani naik traktor lancar protes

Petani naik traktor lancar protes

Sebahagian petani yang membawa traktor terlibat dalam protes hingga menyebabkan gangguan teruk trafik. foto Agensi

HAGUE – Ribuan petani yang menaiki traktor melakukan tunjuk perasaan hingga mengakibatkan kesesakan teruk di jalan raya.

Tunjuk perasaan oleh para petani itu mengakibatkan kesesakan sejauh 1,136 kilometer pada waktu puncak pagi.

Para petani marah kerana mereka didakwa sebagai kelompok besar yang bertanggungjawab terhadap masalah pelepasan nitrogen oksida.

Susulan dakwaan itu, para petani khususnya ladang lembu yang kurang cekap diminta tutup dan had kelajuan penggunaan dihadkan untuk mengurangkan pencemaran.

Kumpulan-kumpulan petani mendakwa mereka menjadi mangsa ketika industri penerbangan cuba melepaskan diri.

Kumpulan petani yang melakukan protes telah tiba awal di sebuah padang , dekat The Hague.

Polis menganggarkan kira-kira 2,200 orang menyertai tunjuk perasaan tersebut.

Datuk Bandar Hague, Pauline Krikke memberi amaran tentang situasi yang tidak selamat itu tetapi tiada kejadian salah laku dilaporkan.

Dron yang digunakan untuk merakamkan gambar menunjukkan berpuluh-puluh traktor di pakir di pantai Scheveningen ketika pemilik-pemiliknya menyertai protes.

Mereka memegang pelbagai plakad antaranya, ‘anda suka roti, daging dan kentang goreng, tanpa petani anda tidak akan mendapatnya’.

Setiap petani melahirkan kekecewaan kerana industri mereka menjadi sasaran kerajaan untuk mencapai matlamat iklim. – MalaysiaGazette