Home Nasional Polis kena berani akui kesilapan sendiri

Polis kena berani akui kesilapan sendiri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) kepada DSP Wong Ting Lee (kanan) sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kiri) pada Perasmian Majlis Penutup Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan), Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Anggota-anggota polis ditegur supaya berani mengakui kesalahan yang terpalit dengan pasukan beruniform tersebut seperti rasuah, salah guna kuasa dan penagihan dadah.

Ketua Polis Negara Tan sri Abdul Hamid Bador berkata, warga polis perlu peningkatan profesionalisme dan integriti agar sentiasa berada pada tahap cemerlang dan tidak dipersoalkan mana-mana pihak.

“Kita mesti berani mengakui terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa dan penagihan dadah serta pelbagai kesalahan lagi yang sekian lama dilakukan, bukan segelintir tetapi ramai antara kita yang terlibat menyalahi undang-undang.

“Warga polis perlu memandang ke hadapan dan mengubah diri, sekiranya masih sombong mementingkan diri sendiri dan enggan akui kesalahan, kita tidak akan ke mana-mana.

“Misi menjadikan PDRM bertaraf dunia hanya akan jadi omong-omong kosong sahaja jika kita gagal ubah diri dan meningkatkan profesionalisme pada tahap terbaik secara berterusan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penutupan Kursus Program Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Polis, Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 di Maktab PDRM Cheras di sini.

Seramai 100 graduan dalam kalangan pegawai kanan dan anggota polis menamatkan pengajian berdurasi 18 bulan yang berkolaborasi dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penerima-Penerima Anugerah Graduan Terbaik Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan), DSP Wong Ting Lee (tengah), Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK), ACP Mohd Suzrin Mohamad Rodhi (kiri) dan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS), Abdul Hafiz Ahmad bergambar kenangan pada Perasmian Majlis Penutup Kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan), Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2019

Abdul Hamid berkata, selama ini PDRM hanya mengaburi mata masyarakat dengan melaungkan slogan PDRM adalah pasukan yang mana negara banyak terhutang budi sebab angkatan tentera serta polis berjaya mematahkan ancaman komunis di tanahair ini.

Paling menyedihkan apabila sejarah kejayaan ini digunakan untuk menggertak kerajan supaya polis diberikan layanan lebih daripada yang sepatutnya.

“Ini adalah satu perbuatan yang tak baik.dan jangan mudah menghampakan pengorbanan tokoh pejuang kita, askar tanah Melayu, Askar Komanwel dari Fiji, Nepal dan United Kingdom dan tentera serta polis kita yang ramai terkorban dalam berperang dan menghapuskan ancaman komunis di tanah ini.

“Segala perjuangan mereka akan menjadi sia-sia sahaja dan gagal mencapai matlamat yang diimpikan kerana disia-siakan generasi sekarang,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan warga polis bahawa rasuah pernah menghancurkan tamadun sejarah beribu tahun dan boleh meruntuhkan penguasaaan empayar.

Abdul Hamid menyeru warga polis supaya jangan sesekali menghampakan perjuangan terdahulu dan tidak merosakkan diri dan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette