KUALA LUMPUR – Pemimpin dan parti pembangkang diingatkan supaya tidak mencari alasan picisan untuk menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hal membabitkan tarikh-tarikh berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor yang telah ditetapkan SPR.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) berpendapat, seharusnya seteru politik mereka itu sedar bahawa SPR telah mengambilkira pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK itu dan bukannya kerana ingin sabotaj agenda parti pembangkang yang telah ditetapkan pada tarikh berkenaan.
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata pembangkang perlu menerima hakikat bahawa SPR sebagai sebuah institusi yang bebas untuk mengendalikan pilihan raya mengikut ketetapan dan sudah tentunya mempunyai alasan tersendiri menetapkan tarikh yang kebetulan bertembung dengan program program penting parti pembangkang.
“Adalah keterlaluan sekiranya pembangkang mengaitkan penetapan tarikh oleh SPR ini sebagai usaha untuk membantu PH. Saya saran parti pembangkang supaya memberikan tumpuan kepada kempen secara sihat dan tidak menjurus kepada isu titik bengik (perkara remeh temeh) yang bersifat picisan dan murahan,” katanya kepada Bernama.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov, seperti diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun semalam.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan 2 Nov manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 Nov. PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, mewakili Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.
Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.
MCA dan UMNO mendakwa SPR sengaja mengadakan PRKitu sewaktu parti-parti berkenaan mengadakan perhimpunan agung tahunannya iaitu pada 2 hingga 3 Nov (MCA) dan 13 hingga 16 Nov (UMNO).
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pembangkang perlu berlapang dada dan berbesar hati dalam menerima keputusan SPR itu sepertimana PH menerima keputusan SPR untuk mengadakan PRU14 pada hari biasa.
“Harap Barisan Nasional berbesar hatilah, dulu kami semasa pembangkang pun menghadapi benda yang sama juga, tapi kami akur dengan kehendak SPR. Malah SPR sudah bagi hujah-hujah yang cukup bernas, ia juga memikirkan masa atau hari-hari yang tidak terduga, sekurang-kurangnya ada tujuh hari extra lagi utk kontigensi,” katanya.
Beliau turut menasihatkan seteru politik mereka itu khususnya UMNO dan MCA untuk menunda ke tarikh lain bagi program parti yang telah dirancang.
Tegasnya, PRK ini diadakan kerana kematian dan bukan dirancang sewenang-wenangnya dan oleh itu, keputusan SPR harus dihormati.
“Mungkin UMNO dan MCA akan cakap persediaan telah dibuat dan duit telah dibayar tapi kita juga kena ingat ini kematian, ia bukan yang dirancang. Mengikut Akta SPR, PRK perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh yang diisytiharkan. Jangan pula ada main isu agama atau keupayaan, tidak respect perayaan Deepavali dan sebagainya pula,” nasihatnya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad berkata, bukan sahaja UMNO atau MCA sahaja yang mempunyai program tahunan parti, malah pihaknya juga telah bersiap sedia untuk konvensyen parti yang perlu diubah ke tarikh lain.
“Kebetulan kena pada hujung tahun, masing-masing memang ada program. Amanah pun ada program convention tahunan bagi peringkat kawasan dan peringkat negeri dan sebagainya. Jadi kita terpaksa adjust mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Semua orang ada program, bukan MCA dan UMNO sahaja yang ada program,” katanya sambil menambah, SPR telahpun membuat keputusan yang munasabah berkaitan tarikh berkaitan PRK itu.- BERNAMA