Home Dunia Selepas tangguh rundingan, Korea Utara lancar peluru berpandu pagi ini

Selepas tangguh rundingan, Korea Utara lancar peluru berpandu pagi ini

Korea Utara didakwa melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu dari Wonson, pada 10 September 2019 -foto Agensi

SEOUL – Korea Utara membedil sekurang-kurangnya satu peluru berpandu pada pagi ini, menurut tentera Korea Selatan dan Jepun, sehari selepas Pyongyang mengumumkan akan menangguhkan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Ketua-Ketua Tentera Bersama Korea Selatan tidak dapat mengenal pasti peluru berpandu yang digunakan yang dilepaskan sekitar Wonson, di tenggara wilayah Kangwon ke laut.

Pengawal Pantai Jepun dalam kenyataan telah meminta semua kapal untuk memberi perhatian terhadap maklumat yang disalurkan dan tidak mendekati serpihan.

Tetapi, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga mendakwa Pyongyang melepaskan dua peluru berpandu yang dilepaskan selang beberapa minit.

Peluru berpandu kedua jatuh di perairan Zon Eksklusif Ekonomi kira-kira 7.27 pagi waktu tempatan.

Pelancaran peluru berpandu itu adalah kali kesembilan selepas pertemuan Kim Jong Un dengan Presiden Donald Trump di Zon Penampan Korea pada Jun lalu.

AS dan Pyongyang sebelum ini dijadual untuk bertemu pada Sabtu ini bagi membincangkan tentang usaha untuk menangani program nuklear dan peluru berpandu yang terhenti selepas sidang kemuncak kedua antara Trump dan Kim di Vietnam pada Februari lalu. – MalaysiaGazette