KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu digesa memberikan alasan yang kukuh bersama fakta-fakta punca utama pendapatan dan pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) lembap.
Ini kerana, Boustead Holdings Berhad (Boustead) dan Affin Bank yang merupakan dua aset terbesar LTAT tidak pernah rugi sejak tahun 2013.
Lantaran itu, Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu memberikan penjelasan bagaimana pelaburan LTAT mencatat kerugian sejak PRU-14 hingga hari ini.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, alasan yang sama terus ‘disuap’ kepada rakyat bahawa LTAT memerlukan tempoh tiga tahun untuk memulihkan ekonomi negara, walhal ekonomi negara berkembang pesat sebelum PRU-14.
Alasan juga diberikan seolah-olah berlaku salah laku di dalam kerajaan terdahulu kerana membayar dividen yang tinggi.
Sedangkan, pada masa sama, LTAT pula menegaskan isu kedudukan kewangan tabung itu tidak mengandungi unsur salah laku jenayah, katanya.
Shahir juga menggesa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk bersikap matang, menggunakan fakta ketika berhujah dan tidak bermulut celupar dengan menggelarkan pembangkang serta rakyat sebagai bodoh apabila mempersoalkan tentang agihan dividen terendah dalam sejarah LTAT.
Jelasnya, Rafizi perlu melihat prestasi saham Boustead Holdings secara keseluruhan kerana fakta tidak menipu atau membodohkan rakyat apabila saham Boustead merudum setelah Pakatan Harapan memerintah.
Nilai sesaham Boustead pada Januari 2018 adalah RM 2.89 tetapi pada hari ini nilainya menjunam kepada RM 1.01 iaitu merosot 65 peratus.
“Rafizi jangan berselindung kepada rakyat untuk menunjukkan bahawa saham Boustead pada Januari 2016 nilai saham ialah RM 2.86 dan pada Januari 2017 ialah RM 2.67.
“Disebabkan kukuhnya saham Boustead, maka dividen diberikan kepada wira negara kita adalah sekitar 12 peratus,” katanya yang menyifatkan perkara sama turut berlaku kepada saham kedua terbesar LTAT iaitu Affin.
Pada Januari 2018, nilai saham Affin sekitar RM 2.50 tetapi hari ini nilai saham tersebut jatuh merudum kepada RM 1.98, kejatuhan sebanyak 21 peratus.
“Dewan Pemuda Ikatan berharap Pakatan Harapan terutama Naib Presiden PKR untuk tidak memutar-belitkan fakta dan
membuat kenyataan tidak matang kepada pembangkang.
“Mereka harus ingat, pembangkang hari ini merupakan pembangkang yang matang dan bukan penyebar sentimen berbaur fitnah,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: