PUTRAJAYA – Satu dasar mengenai keselamatan dan keharmonian awam dilancarkan bagi menggantikan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang digubal KDN sebelum ini.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang baharu ini mampu untuk memastikan keselamatan dan keharmonian awam terus dipelihara di negara ini.
“DKKA dilancarkan hari ini bermatlamat untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia dengan rakyatnya bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan Nasional.
“DKKA merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah dan melindungi aset dan sasaran penting negara,” katanya dalam ucapan perasmian dasar itu di Auditorium Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi lbrahim dan pegawai kanan Kerajaan dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Dr Mahathir mengesa agar agensi keselamatan perlu berubah daripada pendekatan tradisional kepada pendekatan yang berasaskan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0.
Ujarnya, ia bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan dalam sektor keselamatan.
“Pendekatan ini termasuklah pembangunan sumber manusia yang lebih kompeten bagi menghadapi cabaran yang lebih kompleks ini.
“Selain itu, penggunaan artificial intelligence atau AI, penggunaan dron, automasi berasaskan robotik, cloud computing dan internet of things yang berupaya menggurangkan kos dan sumber manusia di samping meningkatkan kecekapan dalam menangani cabaran dan isu-isu keselamatan,” katanya. -MalaysiaGazette