JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau akan memperkenalkan perubahan terhadap peraturan buruh menjelang hujung tahun ini dan membuka lebih banyak sektor ekonomi kepada pelaburan swasta serta melaksanakan beberapa reformasi utama yang diminta pelabur.
Jokowi berkata, pelan perubahan terhadap undang-undang buruh itu akan diguna pakai oleh pekerja baharu.
Katanya, cadangan tersebut akan dibincangkan dengan kesatuan buruh sebelum dibawa ke Parlimen.
Dengan mengetatkan peraturan kepada pekerjaan-pekerjaan baharu sahaja, Jokowi boleh menarik lebih banyak perniagaan yang mahu beroperasi di Indonesia atau merancang untuk meluaskan lagi perniagaan.
Bercakap di tempat asalnya, Solo, Jokowi memberitahu, Ketua Pengarang Bloomberg, John Micklethwait bahawa keutamaannya adalah untuk mereformasi peraturan buruh.
Ahli-ahli perniagaan telah lama merungut mengenai pakej pemberhentian kerja yang sangat besar, sistem gaji minimum yang kompleks serta peraturan ketat dalam mengupah dan memberhentikan pekerja menyebabkan mereka sukar meluaskan operasi.
“Setiap tahun terdapat tiga juta pekerja baharu dalam pasaran kerja.
“Mereka mesti diberi ruang untuk memasuki pasaran kerja.
“Kedua, kami mahu menyelesaikan rungutan-rungutan pelabur.
“Kami akan mengkaji semula undang-undang dan kami berharap lebih banyak pelaburan akan dicipta dan syarikat-syarika pula mendapat pekerja yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Jokowi berkata, beliau akan mengekalkan Menteri Kewangannya, Sri Mulyani Indrawati dalam Kabinetnya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas peranan yang bakal dipegang oleh bekas Pengarah Urusan Bank Dunia itu.
Indrawati selama ini berusaha keras untuk merangsang perolehan cukai dan memastikan defisit fiskal terkawal. – Agensi