Home Nasional Kerjasama pemain global, vendor tingkat ekosistem teknologi negara – PM

Kerjasama pemain global, vendor tingkat ekosistem teknologi negara – PM

Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA- Kerjasama di antara pemain global dan vendor tempatan adalah penting untuk membina ekosistem teknologi yang berkembang maju di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak ada keraguan rangkaian 5G akan menjadi pemacu utama untuk mengubah industri utama seperti pembuatan, pertanian dan penjagaan kesihatan supaya dapat terus berdaya saing di peringkat global.

Ia juga akan menghubungkan semua rakyat di Malaysia, katanya.

“Impak daripada teknologi canggih dalam melonjak kemajuan negara adalah nyata dan kita tidak mahu ketinggalan terutama sekali dengan era Industri 4.0 sekarang.

“Saya gembira Huawei dan Maxis memanfaatkan persekitaran ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menyaksikan pemeteraian perjanjian di antara Maxis Bhd. dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. di Putrajaya.

Di bawah perjanjian tersebut, Huawei akan membekalkan peralatan dan perkhidmatan radio 4G/LTE dan 5G.

Selain mendapat akses kepada teknologi 5G, Maxis juga dapat memodenkan rangkaian LTE-nya supaya boleh menggunakan teknologi terkini itu.

Syarikat telekomunikasi itu juga dapat mempercepatkan pelancaran perkhidmatan 5G apabila spektrum diagihkan kelak.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Carrier Huawei, Ryan Ding berkata, dengan penggunaan teknologi 5G, Malaysia akan melalui fasa transformasi digital yang pesat.

Teknologi 5G katanya dijangka melonjakkan Internet Saling Berhubung (Internet of Things atau loT). – MalaysiaGazette