KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, pelakon baru Haneesya Hanee diejek netizen apabila ada yang menyamakan kulitnya seperti minuman yang sedang trending, bubble tea.
Selepas itu, ibunya dilaporkan berang dengan tindakan itu kemudian membuat laporan polis.
Mengambil kesempatan menegur pelakon muda itu, penyanyi Black berharap agar Haneesya tidak muda melatah berhadapan dengan apa juga bentuk kritikan, kecaman dalam industri seni.
Namun Black dalam masa yang sama menyifatkan keluarga pelakon itu masih belum menerima perubahan yang terpaksa dihadapi Haneesya setelah bergelar selebriti.
“Haneesya baru menapak dalam industri ini mungkin dia sekeluarga masih belum biasa dengan situasi semasa seperti di media sosial.
“Dia masih terkejut di mana sahaja orang akan mengenali namanya, stalk dia, follow dia. Jadi Haneesya jangan cepat melatah malah jadikan kekurangan itu sebagai satu senjata,” katanya dipetik dari Mstar hari ini.
Meskipun warna kulitnya yang juga gelap namun Black berkata dia tidak pernah terasa hati dengan ejekan sedemikian.
“Saya tak pernah nak buat laporan polis sebab orang cakap saya ini hitam kerana saya sedar saya lelaki berkulit gelap tetapi disebabkan kulit gelap ini saya dapat tempat di industri ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette