Home Nasional Lebih 1,000 kes tertunggak, polis buru 117 pekerja Ah Long

Lebih 1,000 kes tertunggak, polis buru 117 pekerja Ah Long

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad bercakap pada sidang media mengenai penipuan wang pelanggan mengakibatkan kerugian RM30.4 juta di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 117 individu yang bekerja dengan Ah Long diburu polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, mereka yang diburu itu antara lain melibatkan kes jenayah pinjaman wang yang masih belum diselesaikan polis.

Daripada jumlah yang diburu itu, seramai 46 orang diburu polis Melaka, Johor (25 orang), Perak (13 orang), Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing (8 orang), Pahang (6 orang), Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing (4 orang), Terengganu (2 orang) dan Perlis (1 orang).

Katanya pada 2017, sebanyak 1,243 kes ah long direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 674 kes masih belum diselesaikan.

Setahun kemudian, sebanyak 776 kes dilaporkan dan lebih 528 kes masih belum selesai.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, lebih 680 kes belum selesai berbanding 870 kes dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes tertunggak setakat ini 1,882 kes.

“Daripada kes ini kita akui banyak lagi kes tertunggak dan kita harap dengan menguar-uarkan pada hari ini, kita akan dapat tangkap orang yang dikehendaki.

“Tiga tahun ini masih banyak kertas siasatan tidak dapat selesai kerana ramai pelaku masih bebas dan ada antara mereka kita tidak dapat kesan,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah beliau, semenjak Ops Vulture yang yang digerakkan sehingga September 2019, sebanyak 14 tangkapan dibuat di 199 premis Ah Long berdaftar.

Manakala 221 tangkapan dibuat semasa pemeriksaan di 536 premis tidak berdaftar, katanya.

Zakaria berharap dengan usaha menguar-uarkan kepada umum semua individu yang dikehendaki itu, polis dapat mengurangkan kes melibatkan Ah Along yang masih tertunggak, selain membantu mangsa yang sebelum ini menerima ugutan. -MalaysiaGazette