SEOUL – Korea Utara berkata, negara itu berjaya melakukan ujian peluru berpandu balistik selam (SLBM) dari laut untuk menangani ancaman luar dan meningkatkan pertahanan negara.
Pelancaran peluru berpandu semalam adalah yang paling provokatif oleh Korea Utara sejak ia meneruskan dialog dengan Amerika Syarikat pada tahun 2018.
Malah, pelancaran itu merupakan satu peringatan oleh Pyongyang tentang keupayaan senjatanya yang telah berkembang secara agresif, termasuk peluru berpandu balistik antara benua, kata penganalisis.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un “mengucapkan tahniah” kepada para saintis pertahanan yang menjalankan ujian itu, kata agensi berita negeri KCNA.
Kenyataan itu menunjukkan Kim tidak menghadirkan diri semasa pelancaran itu.
SLBM, yang dipanggil Pukguksong-3, “dibedil dalam keadaan menegak” di perairan di luar bandar timur Wonsan, kata KCNA, sekali gus mengesahkan penilaian yang dibuat oleh tentera Korea Selatan semalam bahawa peluru berpandu itu dilancarkan pada trajektori yang tinggi.
“Kejayaan ujian SLBM yang baru jenis ini menjadi sangat penting kerana ia membawa kepada fasa baru bagi menangani ancaman pasukan luar ke atas Korea Utara dan memperkuatkan pertahanannya,” kata KCNA.
Ujian “tidak mempunyai kesan buruk terhadap keselamatan negara-negara jiran,” kata KCNA tetapi tidak memberikan butiran lain mengenai pelancaran tersebut. – MalaysiaGazette