KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengkritik Nga Kor Ming kerana menyerahkan ‘replika cek’ kepada sebuah sekolah Cina di Perak baru-baru ini dengan logo Pakatan Harapan (PH) yang diletak bersebelahan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Katanya, pada zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN), replika cek tanpa logo BN kerana tidak mahu mempolitikkan pendidikan di sekolah.
Lantaran itu, Ka Siong mempersoalkan tindakan Pengerusi DAP Perak meletakkan logo Harapan pada replika cek rersebut tidakkah bermotifkan politik.
“Ingat lagi pada November dan Disember yang lalu, Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP mencipta sejarah dengan keputusan membatalkan geran padanan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) yang lazimnya diberi sekitar RM30 juta hingga RM60 juta setahun.
“Selama 50 tahun di zaman BN, TARUC mendapat geran padanan dari tahun 1969 hingga 2018, dengan jumlah secara kumulatif sebanyak RM1.353 billion.
“Apa yang lebih peliknya ialah ketika Guan Eng yang bukan menjaga portfolio pendidikan secara tiba-tiba menyerang MCA dan dengan angkuhnya berkata: “Kerajaan PH tidak akan memberi peruntukan geran padanan kepada TARUC kerana PH mahu politik dipisahkan dengan pendidikan”.
Presiden MCA itu berkata, Guan Eng berkata sebab utama PH tidak memberi peruntukan kerana TARUC adalah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh parti MCA pada tahun 1969.
“Haha….Guan Eng, betulkah PH nak sangat “pisahkan pendidikan dengan politik”? Kalau begitu apasal Nga Kor Ming serah “mock cheque” yang dicetak logo Harapan bersama KPM? KPM ini agensi di bawah parti ke?
“Peruntukan kepada sekolah itu dana yang disumbangkan oleh parti Harapan? Tak mungkinlah logo KPM turut digunapakai, ini ganjil lagi ajaib!
“Hakikatnya, peruntukan ini adalah dari dana kerajaan atau wang rakyat bukannya sumbangan Tabung Parti Harapan! Itu pun tak dapat beza!
“Kesimpulannya, pemimpin DAP ini sentiasa tidak konsisten, yang lebih teruk, cakap tak serupa bikin!,” ujarnya. – MalaysiaGazette