Mahkamah Tinggi diberitahu salah seorang daripada dua remaja yang dituduh membunuh ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan ada membuat laporan polis mendakwa dia dibohongi pegawai penyiasat sewaktu keterangannya diambil.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tertuduh berusia 14 tahun itu membuat laporan itu pada 22 Sept tahun lepas, mengatakan kejadian itu berlaku semasa dia ditahan reman.
Shafee membacakan laporan itu yang dibuat bagi memperbetulkan kenyataan yang diambil semasa dia ditahan reman selama 7 hari pada 5 hingga 12 Sept tahun lalu.
Tertuduh merupakan anak kepada seorang lagi tertuduh, Samirah Muzaffar, isteri kepada Nazrin. Mereka dan seorang lagi remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018 di kediaman mereka di Mutiara Damansara. Seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu, masih bebas.