KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) didakwa tidak pernah bersemuka apatah lagi merujuk kepada pemilik dan pewaris sebelum membuat sebarang keputusan bagi penawaran harga RM850 sekaki persegi tanah Kampung Baru.
Menurut Setiausaha Kumpulan Pewaris Kampung Baru, Zainudin Ismail, maklumat mengatakan 94 peratus pemilik dan pewaris tanah bersetuju dengan cadangan kerajaan itu sebenarnya tidak benar.
“Kerajaan tidak rujuk kepada penduduk, dia pun dengar sebelah pihak, bila dengar sebelah pihak, maklumat memang tak betul.
“Kami sendiri pun terperanjat dengan maklumat itu. Sebab itu kami betul-betul nak mengadakan pertemuan hati ke hati dengan menteri.
“Ini supaya kami dapat mencerahkan segala terhadap maklumat-maklumat yang tak betul ini,” katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, hari ini.
Pada 28 September lalu, sebanyak 93.7 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju dengan harga jualan RM850 sekaki persegi yang ditawarkan kerajaan.
Peratusan ini dianggarkan oleh pihak Sumber Perbadanan Kampung Baru dan sehingga kini masih menunggu baki penduduk lain bagi memberikan jawapan dan persetujuan yang telahpun diberi masa sehingga 10 Oktober ini.
Zainudin turut mendakwa, maklumat yang diperolehi KWP mengenai jumlah penduduk yang bersetuju dengan tawaran tersebut sebenarnya berat sebelah.
“Kami sebenarnya tak tahu, itu maklumat sebelah pihak, kita tak boleh kata maklumat dia betul atau salah.
“Kami cuma nampak maklumat itu tidak seperti kami jangka.
“Kami jangka jauh dari itu, kami masih berfikir (pertimbang),” katanya lagi. – MalaysiaGazette