Home Sukan Hatrik Syafiq bekalan baik ke Hanoi – Tan Cheng Hoe

Hatrik Syafiq bekalan baik ke Hanoi – Tan Cheng Hoe

Barisan pemain pasukan Malaysia menyanyikan lagu kebangsaan selepas tamat perlawanan Persahabatan Antarabangsa antara pasukan Malaysia menentang pasukan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 05 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kemenangan besar 6-0 ke atas Sri Lanka dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa malam tadi satu bekalan terbaik Harimau Malaya untuk berdepan Vietnam di Hanoi 10 Oktober ini.

Malaysia akan berentap dengan Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asian 2023 Khamis depan.

Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe berkata aksi anak mudanya berdepan Sri Lanka dengan kemenangan selesa 6-0 satu perkembangan positif ke arah persiapan berdepan ujian Vietnam yang merupakan lawan kuat di rantau ini.

Malah katanya, Mohamadou Sumareh yang akan kembali dari penggantungan perlawanan persahabatan serta hatrik gol Muhammad Syafiq menambah kekuatan pasukan di Hanoi nanti.

“Pemain saya memulakan perlawanan dengan corak agresif dan menekan lawan dengan serangan kerana gandingan pemain yang mantap setiap sudut.

“Sri Lanka turun dengan taktikal bertahan jadi kami berjaya memanfaatkan peluang untuk untuk menekan mereka dengan asakan sehingga berpesta gol dan ini satu bekalan terbaik ke Hanoi nanti,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Beliau turut memuji aksi empat pemain simpanan Muhammad Syahmi Safari, Adam Nor Azlin, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Mohd Azzizan Nordin yang beraksi dengan baik selepas digantikan.

Bagaimanapun katanya mereka masih ada ruang untuk meningkatkan prestasi masa depan mereka.

“Kita bukan sahaja mengutamakan kesebelasan utama, tetapi juga pemain lain untuk memastikan pasukan beraksi dengan konsisten.

“Saya berpuas hati dengan banyak peluang cipta gol dan membuka jaringan oleh anak buah di atas padang sepanjang perlawanan tadi,” ujarnya.

Ditanya mengenai gol hatrik Muhammad Syafiq Ahmad dan aksi cemerlang mencipta peluang gerakan untuk rakan sepasukan, Cheng Hoe mengakui prestasi pemain itu meningkat secara konsisten dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

“Saat perlukan jaringan gol dia menjadi penyudah perlawanan di depan gol lawan itu perkembangan baik untuk skuad berdepan Vietnam di Hanoi nanti,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi perkembangan terkini kecederaan pemain seperti pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih yang masih bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya pada saingan suku akhir pertama Malaysia berdepan Melaka, baru- baru ini.

Dua lagi pemain iaitu pemain Perak J.Partiban dan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi juga mengalami kecederaan dan sedang melalui rawatan fisioterapi dengan nasihat pakar.

“Ketiga tiga pemain itu tidak akan bersama kami kerana masih dalam kecederaan tetapi pemain Naturalisasi Mohamadou Sumareh bersedia diturunkan.

“Malam ini dia tidak beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan persahabatan kerana menerima dua kad kuning semasa AFF Suzuki 2018 tapi dia akan beraksi berdepan Vietnam nanti dan itu kelebihan untuk pasukan di jentera serangan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette