Home Nasional Kongres Maruah Melayu: Tidakkah Kit Siang juga rasis?

Kongres Maruah Melayu: Tidakkah Kit Siang juga rasis?

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Tindakan veteren DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan kewajaran empat universiti awam menganjurkan Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati dipercayai akan mengaktifkan bom jangka perkauman.

Menurut Penganalisis Politik, Dr Kamarulzaman Yusof, Lim Kit Siang juga sebelum ini pernah menyahut seruan pertubuhan-pertubuhan Cina supaya parti-parti politik Cina bergabung tenaga bagi mengadakan satu persidangan semua pertubuhan dan parti politik Cina bagi menjaga kepentingan Cina.

Cara Kit Siang bertanya memaparkan sikap holier-than-thou seolah-olah beliau tidak pernah memperjuangkan politik perkauman dan tidak pernah memperkudakan universiti awam sepanjang beliau terlibat dalam politik,” katanya hari ini.

Dr Kamarulzaman merujuk kepada kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan apa keperluan beberapa universiti awam menganjurkan acara itu.

Kit Siang pada Jumaat mempersoalkan adakah empat universiti awam ini sanggup menganjurkan Kongres Maruah Cina Malaysia, Kongres Maruah India Malaysia, Kongres Maruah Kadazan Malaysia, Kongres Maruah Dayak Malaysia, Kongres Maruah Orang Asli Malaysia dan yang paling penting, Kongres Maruah Rakyat Malaysia?

“Martabat bagi rakyat Malaysia adalah jika setiap kumpulan etnik dan agama di Malaysia menikmati maruah masing-masing – yang selari dengan prinsip asas dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara,” kata Kit Siang.

Tambah Dr Kamarul, Kit Siang sebelum ini pernah beberapa kali mendesak supaya dihapuskan pembahagian rakyat kepada bumiputera dan bukan bumiputera kononnya bagi membuka jalan kepada pembentukan masyarakat sivil dan bangsa Malaysia.

Malah katanya, Kit Siang juga sebelum ini pernah bercakap mengenai isu-isu seperti ketidakadilan pembahagian rakyat kepada bumiputera dan bukan bumiputera serta pembelaan hak-hak kaum minoriti di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya.

“Lebih besar lagi ialah bila 2,095 pertubuhan Cina mengemukakan 17 tuntutan utama yang disertai oleh 83 tuntutan spesifik mereka, Lim Kit Siang langsung tidak pernah mempersoalkan kerasisannya malah menyokong kuatnya pula,” katanya lagi.

Kongres Maruah Melayu anjuran Pusat Pengajian Kecemerlangan Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM. Ia bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, esok.

Majlis penutup akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Malawati, Shah Alam esok. -MalaysiaGazette