KUALA LUMPUR – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan menyediakan turbo charge untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan yakin matlamat wawasan tersebut akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi.
Wawasan Kemakmuran Bersama dibentangkan tepat pada masanya tatkala ekonomi global sedang bercelaru dan dilanda suasana ekonomi yang muram dan tidak menentu dan menyediakan turbo charge untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta meningkat kuasa beli rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pelancaran WKB 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, selain itu WKB 2030 akan merangsang imaginasi, kreativiti dan keterampilan generasi millennial untuk membawa Malaysia ke mercu kecemerlangan industri.
Dalam usaha memburu kecemerlangan industri, Mohamed Azmin meberitahu, tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah dan miskin di samping menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati oleh mereka.
“Justeru itu, wawasan ini yang berteraskan pertumbuhan dan penciptaan kekayaan adalah menjurus untuk membasmi kemiskinan dan membebaskan mereka dari kesengsaraan dan penderitaan hidup.
“Komitmen Kerajaan tidak berganjak dan kami akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat ini demi mengangkat darjat dan martabat mereka dan menterjemah wawasan agung ini untuk menjadi kenyataan memerlukan kecekalan, dedikasi dan keikhlasan.
Menurut beliau, kementerian akan memantau pelaksanaan wawasan tersebut namun kejayaannya bergantung kepada rakyat. – MalaysiaGazette