KUALA LUMPUR – Seorang anggota pengiring wanita di keluarga diraja Johor terharu selepas mendapat kejutan daripada Permaisuri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang menghadiahkannya seekor anak kucing.
Koperal Nilam Syafina Abdul Sukor menangis ketika menerima pemberian itu kerana tidak menyangka rasa sedihnya terubat selepas kucing peliharaan mati.
Raja Zarith Sofiah yang dipetik di laman Facebook Royal Press Office bertitah, baginda memahami kesedihan yang dialami pengiringnya itu, selain ia merupakan hadiah penghargaan kepada Nilam Syafina yang telah berkhidmat dengan Istana Johor sejak 10 tahun lalu.
“Dia begitu sedih atas kematian kucingnya itu, jadi saya memberi anak kucing ini sebagai penghargaan atas jasanya mengiringi dan menjaga Tunku Tun Aminah dan saya sendiri sepanjang 10 tahun yang lalu,” titah baginda.
Menurut hantaran itu lagi, Nilam Syafina amat tersentuh dengan pengurniaan itu.
“Lion (kucing) pergi pada hari sebelum saya mengiringi Tuanku Permaisuri berangkat ke London bulan lalu akibat demam panas.
“Tuanku begitu baik kepada kami semua dan patik sentiasa mendoakan yang terbaik buat Tuanku sekeluarga. Junjung Kasih Tuanku” katanya.
Lebih 2,500 pengguna laman sosial berkenaan menyukai status tersebut dengan mendapat lebih 128 komen dan ia turut dikongsikan. – MalaysiaGazette