Home Nasional Lebih 100,000 orang sudah daftar PeKa40

Lebih 100,000 orang sudah daftar PeKa40

Dr. Lee Boon Chye. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2018
Dr. Lee Boon Chye

KUALA KANGSAR- Lebih 100,000 golongan B40 telah mendaftar bagi Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, mereka yang layak itu adalah golongan berpendapatan rendah yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan saringan kesihatan adalah secara percuma di klinik kesihatan serta swasta yang berdaftar.

“Saringan kesihatan itu membabitkan ujian darah tinggi, kencing manis, kolesterol, buah pinggang dan kesihatan mental.

“Selepas ujian saringan itu mereka layak mendapatkan rawatan dan pengangkutan jika ada kanser, alat perubatan seperti kanta untuk katarak, ujian jantung, alat bantuan pendengaran, oksigen, sendi tiruan, besi untuk tulang yang patah dan kerusi roda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Menderma Darah anjuran Persatuan Guangxi Kuala Kangsar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsung Wah di sini hari ini.

Projek rintis PeKa B40 dimulakan April tahun ini membabitkan peruntukan RM100 juta bagi sasaran 800,000 individu.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata Kementerian Kesihatan memerlukan 2,000 pek darah setiap hari dengan keperluan terbanyak adalah untuk kes kemalangan jalan raya selain ibu bersalin, demam denggi dan kanser.

“Keperluan juga banyak untuk mereka yang menghidapi penyakit berkaitan dengan masalah darah,” katanya.

Menurut Dr Lee, setiap darah yang didermakan akan menjalani ujian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk untuk pengesanan penyakit HIV bagi memastikan keselamatan penerima.

“Kementerian sangat menggalakkan pendermaan darah secara berkumpulan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette