Home Nasional Masalah air berbau di 27 kawasan selesai

Masalah air berbau di 27 kawasan selesai

KUALA LUMPUR – Dua puluh tujuh kawasan di Selangor yang mengalami masalah bekalan air berbau kurang enak, telah pulih sehingga pukul 6 petang ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, enam kawasan masih mengalami masalah air berbau.

“Sebanyak 37 aduan air berbau diterima sehingga pukul 6 petang ini dan kawasan yang masih terkesan ialah Puchong Prima, Seri Kembangan dan Saujana Puchong di Petaling; Seksyen 3, Bangi di Hulu Langat; Salak Tinggi, Sepang; dan Saujana Putra, Kuala Langat,” katanya.

Beliau berkata, selain pemeriksaan dan pencucian sistem perpaipan di kawasan aduan, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan dan pencucian terhadap kolam-kolam perkhidmatan dan sehingga kini 160 kolam perkhidmatan diperiksa dan dicuci.

“Pemeriksaan serta pencucian kolam dan sistem agihan ini masih diteruskan dan Air Selangor mengambil segala usaha dan tindakan perlu bagi memastikan semua kawasan yang terkesan dengan kes air berbau pulih sepenuhnya,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 sekiranya masih lagi mengalami bekalan air berbau, kata beliau. – MalaysiaGazette