Home Seni Hidup Minnal FM anjur kempen #gogreendeepavali

Minnal FM anjur kempen #gogreendeepavali

Minnal Fm merancakkan Kempen Go Green Deepavali mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan produk plastik dalam siri jelajah di LIttle India Ipoh semalam oleh Juruhebah popular, antaranya Tresa (tiga dari kanan), Suganya (dua kanan) bersama pengarah projek berkenaan, Kalaivani (tengah).

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Deepavali pada 27 Oktober ini, stesen Radio RTM Minnnal FM melancarkan kempen  #gogreendeepavali bagi kesedaran sivik dan mencintai alam.

Dikenali dengan “Pasumai Deepavali’ dalam bahasa Tamil, stesen penyiaran radio Tamil itu akan menjelajah ke beberapa lokasi utama terpilih yang menjadi tumpuan masyarakat untuk menyebarkan kesedaran pentingnya memulihara dan melindungi alam sekitar.

Menurut Pengurus Minnal FM, V Sumathy, tahun ini Minnal FM telah memilih tema “#Go Green Deepavali” atau “Pasumai Deepavali” yang membawa makna menyinari kesuburan atau kehijauan alam sekitar dengan memerangi pencemaran  penggunaan produk berasaskan plastik secara melampau.

Pasukan juruhebah Minnal FM kempen GoGreenDeepavali2019, Mogan, Paruvin, (barisan atas), Tresa, Suganya dan Pengarah projek berkenaan, Kalaivani (kanan barisan hadapan) dengan beg Jut mesra alam sekitar yang akan diberikan kepada masyarakat sepanjang siri jelajah membawa kesedaran kurangkan produk plastik dan memulihara alam sekitar sempena sambutan Deepavali sepanjang Oktober ini.

Katanya, tema #gogreendeepavali menekankan konsep bumi hijau tanpa beg plastik dan akan dilaksanakan selama 30 hari bermula 1 Oktober hingga 30 Oktober ini.

“Tahun lalu kempen “Nesippom 2” telah mendapat sambutan yang baik daripada pendengar Minnal FM, yang mana mereka memberi bantuan-bantuan kecil kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Tetapi konsep tahun ini memilih tema ‘Pasumai (kehijauan)’ untuk memupuk kesedaran menjaga dan mencintai alam sekitar dalam kalangan pendengar Minnal FM, mendidik mereka mengurangkan penggunaan plastik khususnya sepanjang musim perayaan pesta cahaya kali ini,” sebut Minnal FM.

Minnal FM menambah, penggunaan beg plastik telah menjadi satu kebiasaan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Malaysia tetapi juga di peringkat komuniti global tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap ekosistem dan alam sekitar.

Barisan juruhebah Radio Minnal FM RTM dibarisi Theyvekgan(lima dari kanan), Sathyakumari dan Suganya (tiga dari kanan)yang membawa misi kempen #Go Green Deepavali 2019 sempena sambutan pesta cahaya 27 Oktober ini menyemai kesedaran melindungi alam sekitar dalam kalangan masyarakat menerusi siri jelajah di bandar terpilih seluruh negara.- Foto Minnal FM

Menurutnya, penggunaan beg plastik yang berterusan akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar kerana komposisi kimianya seperti polyethylene menyukarkannya untuk reput dan terurai sendiri, sekali gus menimbulkan implikasi buruk kepada kesihatan serta alam sekitar dalam jangka masa panjang.

“Bagi menyahut seruan kerajaan dalam menyelamatkan alam sekitar, Radio Minnal FM turut mengambil inisiatif sama dengan menganjurkan Kempen Go Green, Ke Arah Bumi Hijau Tanpa Beg Plastik di empat lokasi utama di Semenanjung Malaysia

“Para juruhebah popular Minnal FM antaranya Theyvekgan Thamaraichelvan, Harikrishnan@Hari dan Suganya serta Pengarah Projek Go Green, Kalaivani Shanmugam terlibat dan ada dalam kalangannya akan turun padang ke lokasi utama kawasan Little India untuk aktiviti Road Cruise (Jerayawara) bersama artis tempatan untuk mengedarkan beg jut yang bertemakan #gogreendeepavali tajaan syarikat MY MALL2u Sdn Bhd,” ujarnya.

Pengarah Go Green Kalaivani (tengah) bersama juruhebah Minnal FM, Tresa (kanan) dan Mogan (kiri) dalam siri jelajah merancakkan kempen #GoGreenDeepavali 2019 mendidik masyarakat mengurangkan penggunaan produk berasaskan plastik sepanjang musim perayaan Oktober ini di Little India Jalan Lahat Ipoh,semalam.

Jelajah di Little India Ipoh dan ia akan diteruskan di Terminal 1 Seremban pada 13 Oktober ini, Little India Pulau Pinang (19 Oktober) dan akan berkahir di Little India Brickfields – (23 Oktober 2019).-MalaysiaGazette