KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta berhenti mewujudkan polemik ‘perang’ Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Sebaliknya, kerajaan digesa memberi fokus kepada suara rakyat yang begitu gusar dengan kenaikan harga barang keperluan asas secara berterusan hingga cukup membebankan golongan pertengahan dan rendah.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, perang GST dan SST yang cuba dibangkitkan oleh kerajaan sekarang ini amat mendukacitakan, seolah-olah satu taktik untuk mengalihkan isu sara hidup rakyat yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikannya.
“Dalam keadaan poket pengguna yang begitu kritikal, soal pasaran gelap dalam SST atau isu GST lebih baik, rakyat tidak mahu peduli lagi. Apa yang rakyat mahu adalah harga barangan keperluan harian yang lebih murah dan tidak membebankan.
“Pengguna di akar umbi mahukan alternatif terhadap kenaikan harga barang, bukan mahu dengar atau lihat telatah kerajaan yang mahu mewujudkan perang GST atau SST,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jacob yang kesal dengan senario kenaikan harga barangan yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan berkata: “Apakah tujuan kerajaan untuk menyatakan rakyat mahu GST berbanding SST, sedangkan sebelum GST dimansuhkan, CASSA telah terlebih dahulu mencadangkan agar GST dikekalkan tetapi kadarnya daripada 6%. Namun cadangan itu tiada pun yang peduli”.
“Dan, sekarang tiba-tiba kerajaan menyatakan rakyat pula mahu GST, jadi sebelum ini siapa yang mahu SST,” soal Jacob lagi.
Hujahnya lagi, sejak mengambil alih kuasa sehingga hari ini kerajaan terlalu banyak berpolitik sehinggakan keluh, resah dan kebimbangan rakyat tentang kenaikan harga barangan keperluan harian tiada siapa yang ambil tahu.
Kenyataan yang dicanang semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk menurunkan harga barang tidak berjaya dicapai lagi, malah pelaksanaan harga kawalan barangan keperluan pada musim perayaan juga tidak berjalan dengan sempurna.
Yang pasti, pada hari ini pengguna terus terbeban sehinggakan tiada pilihan atau alternatif lain dalam menghadapi kenaikan harga barang.
“Hendak makan ikan kembung mahal, tetapi hendak beli telur ayam juga bukan murah.
“Ikan sardin dan ikan bilis yang dulu merupakan makanan alternatif juga harganya mahal. Jadi pernahkah pemimpin-pemimpin terfikir apa pilihan yang rakyat ada dalam menghadapi situasi ini?,” soal Jacob sambil mempersoalkan adakah kementerian dan agensi terbabit tahu mengenai senario kenaikan harga barang dan setakat ini apakah tindakan yang sudah diambil.
Ini kerana, katanya, semua pihak sedar kenaikan harga barangan disebabkan sumber kebanyakan diimport dan dengan kedudukan ringgit yang jatuh menyebabkan harga barang dijual dengan mahal.
Tetapi bukan semua sumber makanan dari luar dan apakah yang menyebabkan kenaikan harga sukar dikawal, tanya beliau.
“Sudah tentu kerana wujudnya kartel, tangan-tangan hitam dan manipulator,” katanya yang meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna segera menjalankan peranan dan tanggungjawab secara berkesan.
“Sudah terlalu banyak bercakap, sudah-sudahlah, perhebatkan tanggungjawab anda sehingga tiada lagi kedengaran keluh-kesah rakyat mengenai harga barang,” ujar Jacob. – MalaysiaGazette