Home Pendapat Utamakan perniagaan sesama Islam dituntut

Utamakan perniagaan sesama Islam dituntut

Sebuah restoran masakan India yang terkenal di negeri ini dikenakan kompaun selepas didapati mempamerkan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Logo halal yang menggunakan tulisan Jawi pada produk-produk makanan yang disahkan halal.

MENGUTAMAKAN perniagaan sesama Muslim amat dituntut dalam agama kerana ia mengandungi hikmah yang tinggi nilainya dan besar pula manfaatnya untuk kesihatan tauhid dan iman bagi setiap individu muslim baik secara zahir mahu pun batin

Islam bukanlah agama yang hanya tertumpu kepada solat ibadah-ibadah khusus seperti solat, berpuasa, membaca al-Quran atau mengerjakan haji sahaja tetapi sebenarnya segala urusan berkaitan dengan cara hidup juga adalah merupakan ibadah umum yang perlu diambil berat tentang cara perlaksanaanya.

Di dalam urusan jual beli atau perniagaan ini terdapat 5 syarat agar ia akan dikira oleh Allah sebagai satu ibadah:

1. Perkara yang dibuat itu hukumnya sah di dalam islam iaitu perniagaan adalah suatu hal yang baik bahkan digalakkan sebagai salah satu cara mencari rezeki
2. Niat berniaga mestilah kerana hendak tunduk dan patuh kepada perintah Allah iaitu untuk mencari rezeki bagi diri dan keluarga dalam meneruskan kehidupan di dunia.
3. Barang yang hendak diniagakan itu adalah barang yang halal, baik dan sah disisi syariat. Bukannya perkara-perkara terlarang seperti menjual arak, daging anjing dan babi, pusat pelacuran atau perjudian.
4. Perlaksanaan perniagaan itu mestilah betul dan patuh syariah iaitu tidak menipu, mengurangkan timbangan , menjaga cara penyediaan dan segala urusan mestilah disebut dengan nama Allah dalam setiap perincian prosesnya.
5. Di dalam menjalankan perniagaan itu peniaga tidak meninggalkan ibadah yang khusus dan wajib seperti mengerjakan solat , zakat dan menunaikan hak-hak yang perlu disempurnakan untuk manusia dan sentiasa menjunjung titah perintah Allah.

Mengadakan urusan berjual beli tanpa mengira agama kadang-kadang di pandang sebagai perkara yang kecil dan remeh saja tetapi sebenarnya ia merupakan salah satu dari tuntutan fardhu kifayah yang dapat memberi impak yang besar jika tidak diteliti dengan baik tentang cara perlaksanaanya.

Urusan jual beli atau muamalat di premis perniagaan muslim boleh mengukuhkan ikatan persaudaraan dalam Islam, menjamin dan mengekalkan hukum-hukum syariat , mengukuhkan ekonomi muslim dan akhir sekali kesemuanya nanti akan bersangkut paut dengan menguatkan pegangan tauhid serta keimanan kita kepada Allah.

Kepentingan menjaga hubungan persaudaraan islam dalam perniagaan merupakan perihal yang dapat menumbuhkan perasaan belas dan kasih sayang sesama Muslim.

Apaila melakukan perkara jual beli, seseorang muslim hendaklah mengutamakan membeli dan menjual di premis perniagaan saudaranya yang meyakini konsep tauhid yang sama, tunduk dan patuh kepada Tuhan yang sama, menjaga soal-soal syariat yang sama serta menjalani cara hidup yang sama demi menjaga kesucian agama yang ada dalam dirinya, keluarganya hinggalah ke peringkat menjaga kepentingan masyarakat islam secara keseluruhannya.

Konsep kesamaan dan kekitaan inilah yang akan menjadi tonggak utama kekuatan sesebuah negara yang mempunyai masyarakat yang saling berkasih sayang, saling membantu dan bekerja sama.

Setiap individu muslim sesama muslim adalah bersaudara tanpa mengira bangsa , warna kulit atau keturunan. Apabila seseorang itu telah berikrar memeluk Islam, maka ia dikira bersaudara dengan individu muslim yang lain.

Rasulullah bersabda “Tidak akan beriman seseorang pun di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” ( HR Bukhari. )

Ini bermakna mengutamakan berjual beli dengan memilih perniagaan sesama saudara Muslim untuk keperluan cara hidup sehari-hari adalah suatu tuntutan yang utama di dalam agama Islam kerana ia bersangkut-paut dengan soal iman dan soal menjaga kesucian ibadah setelah menempuh 5 syarat yang disebutkan tadi.

Individu Muslim yang benar-benar beriman sudah tentulah akan menjalankan perniagaan dengan mengambil kira soal-soal syariat iaitu hukum-hukum halal dan haram, soal najis dan cara menyucikannya sehinggalah soal kewajiban mengeluarkan zakat dari perniagaan tersebut.

Sekiranya individu Muslim yang menjalankan perniagaan tidak menepati tanggung jawab itu semua maka individu tersebutlah yang akan menanggung dosanya disisi Allah.

Keadaan ini berbeza jika seorang peniaga itu bukan Islam lalu kita membeli barangannya maka jika jual beli tersebut tidak menepati kesucian dan tanggungjawab yang digariskan oleh Allah dalam al-Quran maka bukan saja peniaga itu yang bersalah terhadap Allah kerana tidak berusaha mencari taufik dan hidayahNya, tetapi pembeli dan seluruh masyarakat Islam yang tidak menyediakan kemudahan urusan jual beli itu juga akan ikut sama menanggung dosa akibat dari jual beli tersebut.

Seperkara lagi yang yang lebih penting ialah Rasulullah bersabda :

” Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rusak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati ” (HR. Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599).

Di akhir-akhir ini kita sering kali kita mendengar pelbagai jenis kejahatan dan kerosakkan telah dilakukan oleh ramai manusia termasuk dikalangan umat islam sendiri yang mana kita percaya punca utama kepada berlakunya kesemua kejahatan dan kerosakan itu adalah bermula dari hati yang sudah tidak takut lagi kepada Tuhan.

Hati yang sudah rosak dan tidak lagi cintakan kebaikan , kejujuran dan kebenaran. Apabila hati telah rosak maka manusia sudah rasa terbiasa membuat onar dan maksiat di muka bumi Allah ini tanpa rasa segan silu lagi samada dengan manusia mahupun dengan Allah.

Hati itu ditempa oleh makanan yang kita makan, cara kita memandang dan melihat kepada sesuatu perkara serta penerimaan kita bila mendengar maklumat-maklumat dari sumber sekeliling.

Hati yang rosak dapat dibersihkan dengan menjaga hal-hal pemakanan dan minuman , menjaga dan mengawal penglihatan dan pendengaran kita dari terdedah kepada pekara-perkara yang buruk serta melakukan ibadah-ibadah yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.

Untuk mengembalikan manusia kembali kepada fitrah kebaikan dan kebenaran maka perlulah bermula dengan memperbaikki soal hati dan ibadah yang dilakukan oleh masing-masing.

Menjaga makan dan minum yang disediakan dari sumber yang suci dan halal memerlukan peniaga-peniaga beriman yang memahami urusan halal dan haram dalam perniagaannya terutama sekali dalam industri pemakanan.

Berusahalah dan bersungguh-sungguhlah semasa memilih makanan yang disediakan dari tangan-tangan yang mentauhidkan Allah dan bersungguhlah-sungguhlah dalam menjauhi makan minum yang haram mahu pun yang meragukan yakni perkara yang samar-samar atau syubahat.

Perkara syubahat ini meskipun merupakan perkara yang samar-samar dan meragukan kebenarannya namun sebagai seorang yang bertaqwa dan takut kepada Tuhannya sudah tentu akan menjadi amat sensitif dengan soal-soal syubahat apa lagi dalam soal yang sudah jelas halal dan haramnya.

Sebagai contoh, makanan yang disediakan oleh peniaga bukan Muslim meskipun mendapat sijil Halal dari Jakim namun apabila pengusahanya sendiri sudah secara terang dan jelas tidak mahu tunduk dalam menerima kesucian agama yang diredhai Allah maka apakah kita yakin dengan kesucian makanan yang disediakan pengusaha tersebut secara zahir dan batin?

Hasil dari tangan individu yang tidak mentauhidkan Allah sudah tentu tidak menepati ciri-ciri ibadah yang telah dibincangkan diatas. Di sinilah datangnya kepentingan mengutamakan perniagaan sesama muslim menjadi perkara yang sangat dituntut oleh agama.

Mengadakan urusan berjual beli di premis perniagaan muslim akan meningkakan kekuatan ekonomi orang-orang islam melalui kewajiban peniaga tersebut membayar zakat perniagaan.

Ini secara tidak langsung akan menguatkan agama Allah dengan menguatkan ekonomi orang-orang yang bertauhid kepadaNya. . Bila ekonomi orang-orang Islam berada pada tahap yang kukuh maka agama ini tidak akan di pandang rendah lagi oleh penganut agama lain. . Secara tidak langsung perbuatan membantu ekonomi masyarakat Islam adalah suatu jihad untuk mengukuhkan agama Allah.

Inilah antara maksud yang difimankan oleh Allah dalam Al Quran Surah Muhammad Ayat yg ke 7

” Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong ( agama) Allah nescaya Dia kaan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu ”

Peniaga-peniaga yang bukan Islam bukanlah musuh kepada orang-orang beriman tetapi dalam konteks perniagaan maka orang-orang beriman harus memilih untuk mengutamakan perintah Allah daripada menjaga hati orang-orang bukan islam yang telah memilih untuk tidak bersama-sama menyertai dan menyokong agama Allah.

Setiap individu samada islam atau bukan islam hendaklah menghormati pilihan yang dibuat oleh setiap manusia lain demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bersama.

Sebagai pengakhirannya, orang-orang yang beriman yang benar-benar mencintai Allah akan sentiasa teliti dan waspada di dalam menjalani kehidupan seharian demi menjaga hubungannya dengan Allah dan hubungannya sesama manusia.

Dalam konteks muamalat atau urusan perniagaan utamakanlah mengadakan jual beli di premis perniagaan muslim kerana ia sangat dituntut oleh agama dan menjadikan kita seorang yang bersungguh-sungguh dalam meraih keredhaan Allah semasa kehidupan kita di dunia yang sementara.

Penulis adalah Dr Faridah Hamzah, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia