BEIJING – Para penternak di selatan China kini giat menambah saiz ternakan babi untuk menjadi sebesar beruang kutub (polar bear).
Babi-babi dibiakkan sehingga seberat 500 kilogram atau 1,102 pound.
Dengan seberat itu, babi-babi berkenaan dijual pada harga lebih iaitu 10,000 yuan, tiga kali ganda berbanding purata pendapatan boleh guna dalam tempoh sebulan di Naning.
Seorang petani, Pang Cong yang terlibat dalam ternakan babi gergasi berkata, saiz babi yang besar dapat menangani masalah kekurangan daging haiwan itu di China.
Malah, harga daging babi yang tinggi di wilayah utara Jilin mendorong kebanyakan petani untuk meningkatkan saiz ternakan babi kepada purata 175 kilogram hingga 200 kilogram berbanding 125 kilogram bagi babi biasa.
Trend ini tidak terhad kepada ladang kecil sahaja kerana pengeluar utama protein di China, termasuk Wens Foodstuffs Group Co, peternak babi terbesar di negara ini, Cofco Meat Holdings Ltd. dan Beijing Dabeinong Technology Group Co juga cuba meningkatkan purata berat babi ternakan mereka.
Ladang besar memberi tumpuan kepada peningkatan berat sebanyak sekurang-kurangnya 14%, kata Lin Guofa, penganalisis kanan dengan firma perunding Bric Agriculture Group.
Purata berat babi semasa penyembelihan di sesetengah ladang berskala besar telah meningkat sebanyak 140 kilogram, berbanding berat biasa kira-kira 110 kilogram, kata Lin.
Ini membolehkan para penternak meningkatkan keuntungan lebih daripada 30%, katanya.
Timbalan Perdana Menteri China, Hu Chunhua sebelum ini memberi amaran bahawa bekalan daging babi dijangka sangat teruk pada separuh pertama tahun 2020.
China akan mengalami kekurangan bekalan daging itu sebanyak 10 juta tan tahun ini, jauh lebih tinggi berbanding dagangan global, justeru pengeluaran domestik perlu ditingkatkan. – MalaysiaGazette