Home Nasional Hishammuddin harap Parlimen tolak pindaan IPCMC

Hishammuddin harap Parlimen tolak pindaan IPCMC

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap Dewan Rakyat tidak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang kini dibentangkan.

Menurut Hishamuddin, pindaan di peringkat dasar tidak boleh dibawa sewenang-wenangnya kerana ia akan menyentuh hala tuju Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ujarnya, perkara bersangkut paut dengan kebajikan polis tidak perlu dipertaruhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak setuju dengan cadangan mereka, harap Dewan Rakyat akan tolak suruhanjaya bebas IPCMC, kerana ada banyak agensi penguatkuasa.

“Di peringkat awal sudah ada tidak kena, ini menyentuh maruah polis, menyentuh perkara institusi kita cukup hormati, libat maruah polis yang kita tidak mahu maruah mereka terjejas, sebab itu kena bawa perkara ini betul untuk membincangkan rang undang-undang hari ini,” katanya di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini membentangkan pindaan IPCMC bacaan kali kedua.

Penubuhan IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).

IPCMC dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong. – MalaysiaGazette