Home Seni Hidup Lebih 1,000 sertai Komuniti FIT BTR

Lebih 1,000 sertai Komuniti FIT BTR

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak hadir merasmikan Komuniti FIT BTR semalam.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 penduduk termasuk pelajar sekolah dan golongan wanita hadir memeriahkan program Komunitt FIT BTR (Bandar Tun Razak) yang berlangsung di sini semalam.

Program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Bandar Tun Razak itu diadakan bermula pukul 7 pagi hingga 3 petang.

Menurut Pengerusi Pemadam, Shahlan Ambroz Zainuddin, program yang berkonsepkan kesihatan itu bermatlamatkan utama mendekatkan masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran melalui aktiviti riadah.

“Saya berharap program ini dapat diadakan setiap tahun kerana saya melihat penyertaan daripada golongan remaja dan belia amat menggalakkan selain kaum ibu.

“Program ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dalam menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang betul dan bersukan secara konsisten,” katanya.

Pertandingan dam gergasi turut diadakan.

Komunitt FIT BTR itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Mengulas lanjut, Shahlan berkata, kehadiran peserta yang ramai adalah signal yang jelas terhadap komitmen mereka dalam menjalani gaya hidup sihat dan aktif.

“Penyertaan itu membuktikan penduduk di sini berminat dengan program berkaitan kesukanan serta menjiwai Malaysia sebagai negara yang bersukan.

Program Komuniti FIT BTR dimulakan denga pertandingan sukan rakyat, mewarna, bola jarring, kabbadi selain pelbagai aktiviti sampingan termasuk gerai pameran dan jualan serta cabutan bertuah dan ceramah antidadah kepada golongan remaja.

Ia merupakan acara kemuncak kepada program menurunkan berat dalam tempoh sebulan bermula awal September lalu menerusi aktiviti senamrobik yang diadakan setiap minggu hujung minggu bulan tersebut. – MalaysiaGazette

Aktiviti abseiling menarik minat orang ramai mencubanya di Komuniti FIT BTR.