Home Nasional Orang muda jangan tuding jari salahkan pihak lain – Syed Saddiq

Orang muda jangan tuding jari salahkan pihak lain – Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja orang Melayu bahkan golongan muda juga sewajarnya tidak menuding kepada pihak lain apabila mereka ditindas khususnya dalam mendapat peluang pekerjaan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, sepatutnya anak muda perlu memperbaiki diri sendiri jika mahu berjaya dan mendapat peluang pekerjaan serta bersedia menghadapi cabaran baru.

“Semalam semasa Kongres Maruah Melayu yang dihadiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apa yang Tun tekankan bukan perkara baru.

“Saya boleh hafal ucapannya, cakap perkara ini lebih 100 kali dari dahulu sampai sekarang, tiap kali berjumpa, dia cakap benda sama.

“Dalam perjumpaan pemuda dua hari lepas, dia sebut perkara sama, contoh pun sama, iaitu bukan orang Melayu bahkan anak muda juga bukan saja menuding jari dan menyalahkan orang lain, patut kita perbaiki diri sendiri,” katanya berucap merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2019 bertajuk Kesejahteraan Belia Harapan Masa Depan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras, di sini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga berkata, anak muda perlu disemaikan dengan nilai-nilai murni yang baik khususnya pemimpin muda.

“Sebaik sahaja saya menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, Tun suruh saya pergi ke Jepun kalau boleh bawa sistem Japanese Future Leaders School yang mendidik pimpinan tertinggi pemuda Jepun dan mempraktikkan di Malaysia.

“Dengan ada MFLS dan menggantikan Biro Tata Negara (BTN) melatih pimpinan belia negara di peringkat sekolah, terasnya ialah kebangkitan nilai murni anak muda supaya kita lebih rajin, berani untuk berfikiran di luar kotak dan dinamik.

“Akhirnya kita berani menyahut apa juga cabaran kalau diletakkan depan kita, kita tak cepat mengeluh, tidak cepat menuding jari ke pihak lain, tapi kita sentiasa mencari jalan untuk terus langkah ke depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette