TEHRAN – Seorang wanita yang telah menjalani pembedahan kosmetik untuk memperlihatkan wajahnya mirip Ratu Hollywood, Angelina Jolie telah ditahan di Tehran semalam.
Sahar Tabar, 21, telah direman polis di Tehran atas tuduhan jenayah, rasuah sosial dan moral.
Dia didakwa menghasut keganasan, mendapatkan pendapatan dalam cara tidak betul, menggalakkan belia rasuah, menurut agensi berita di Iran.
Sahar menonjolkan diri dalam instagram tahun lalu selepas memuat naik beberapa imej wajahnya yang dipercayai diubah melalui pembedahan plastik.
Kebanyakan gambar dan video yang dikongsi Sahar kepada 26,800 pengikut Instagram juga telah diedit supaya wajahnya menyamai bintang Hollywood, Angelina Jolie.
Akaun Instagramnya mempamerkan gambar wajahnya yang diubahsuai menerusi pembedahan plastik.
Dia juga dilihat oleh awam berlegar di jalan raya Tehran dengan berpakaian hijab dan hidungnya dibalut.
Pembedahan kosmetik terlalu popular di negara republik Islam itu dengan lebih 10,000 pembedahan dijalankan setiap tahun.
Selepas mendedahkan wajahnya di khalayak ramai dia dikecam lebih kelihatan seperti zombie berbanding Angelina.
Ada yang berpendapat wanita itu kelihatan lebih cantik dengan solekan sederhana dan photoshop.
Setakat ini, instagram satu-satunya khidmat media sosial utama yang dibenarkan untuk diakses di Iran dan bukannya Facebook dan Twitter serta Telegram yang telah diharamkan secara rasmi.- MalaysiaGazette