Home Politik Buat apa lantik GHL kalau guna data BSH, JPJ

Buat apa lantik GHL kalau guna data BSH, JPJ

Awang Solahuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Kalau subsidi petrol menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), jadi apakah tujuannya kerajaan menerusi Kementerian Kewangan melantik GHL Transact Sdn Bhd untuk membangunkan aplikasi dan perkakasan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON95.

Persoalan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan kriteria Program Subsidi Petrol (PSP) berdasarkan kepada data BSH dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Apakah hasil yang dikeluarkan oleh GHL Transact Sdn Bhd setelah mendapat kontrak bernilai RM 25.03 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membangunkan aplikasi perisian serta perkakasan yang melibatkan subsidi petrol RON95? Walhal, subsidi petrol akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima berdasarkan maklumat data yang telah sedia ada,” soalnya.

Beliau turut menyifatkan jumlah subsidi sebanyak RM1 sehari atau maksimum RM30 sebulan bagi pemilik kenderaan tidak efisyen dalam menangani harga RON95 setelah ia mula diapungkan setara dengan harga pasaran.

Tambahan pula, pengguna RON95 akan terus ditekan dengan harga pasaran tanpa subsidi terutama mereka yang mudah terjejas dan dalam kalangan golongan pertengahan atau M40.

Jelasnya, cadangan pelaksanaan Program Subsidi Petrol ini membuktikan Pakatan Harapan gagal menyelesaikan isu subsidi petrol dan kestabilan harga sepertimana yang dinyatakan dalam janji manifesto. – MalaysiaGazette