Home Nasional Malaysia komited tangani isu pelarian – Muhyiddin

Malaysia komited tangani isu pelarian – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

GENEVA – Isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian antarabangsa kerana boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara (statelessness) dari rantau Asia sejak sekian lama.

“Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutamanya dari Myanmar. Dan jumlahnya semakin bertambah.

“Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah, malahan perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” katanya dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Sungguhpun begitu, menurut Muhyiddin, kerajaan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani masalah tersebut.

Muhyiddin tiba pada Ahad dalam lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan salah satu program Jawatankuasa Eksekutif Sesi ke-70 Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)

Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi, Filippo Grandi, bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia. – MalaysiaGazette