KUALA LUMPUR – Program Subsidi Petrol (PSP) yang bakal diperkenalkan pada Januari tahun depan langsung tidak mengambil kira golongan pertengahan atau M40 kerana golongan ini telah dikecualikan sama sekali sebagai penerima.
Sedangkan, golongan M40 adalah pembayar cukai kepada kerajaan.
Lantas, PSP itu disifatkan program yang tidak adil, lagipun ia hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Malah, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) turut didakwa tidak ikhlas membantu golongan B40 kerana kadar subsidi PSP sangat rendah dan tidak masuk akal.
Penerima bantuan untuk motosikal ialah RM 12 sebulan atau RM 144 setahun, bermakna rakyat golongan B40 hanya menerima bantuan subsidi sebanyak 40 sen sehari.
Bayaran pula hanya dibuat setiap empat bulan.
Shahir berkata, pihaknya musykil dengan pandangan kerajaan yang sangat berkira-kira untuk menolong rakyat tetapi pada masa sama membiarkan rakyat menanti-nanti untuk mendapatkan bayaran RM48 setiap empat bulan.
“Rakyat bukan bahan jenaka untuk diperkotak-katikkan,” katanya.
Shahir turut menuntut kerajaan Pakatan Harapan bersikap telus, memberikan penjelasan kepada rakyat dengan penjimatan RM6 bilion setiap tahun hasil program subsidi terbaru ini.
“Ke manakah perginya duit-duit ini? Pada masa yang sama, aset-aset negara dijual tetapi hutang negara makin meningkat. Ini adalah suatu keadaan ekonomi yang tidak masuk akal.
“DPIM berharap rakyat terus tabah menghadapi keadaan ekonomi negara yang makin teruk,” ujar beliau. – MalaysiaGazette