Home Dunia Trump ancam akan musnahkan ekonomi Turki

Trump ancam akan musnahkan ekonomi Turki

Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengancam akan memusnahkan ekonomi Turki jika negara itu melampaui batas.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Trump selepas beliau membuat keputusan mengejutkan untuk menarik tentera Amerika Syarikat (AS) keluar dari timur laut Syria.

Dalam satu siri Tweet, Trump mempertahankan langkah yang boleh membuka jalan bagi Turki untuk melancarkan serangan ke atas pejuang Kurdish melintasi sempadan.

Pengunduran itu dikritik hebat walaupun oleh sekutu-sekutu Trump termasuk Republikan.

Tentera Kurdish adalah sekutu utama AS semasa menentang danĀ  mengalahkan pengganas IS di Syria.

AS mempunyai kira-kira 1,000 askar di seluruh Syria dan kira-kira 24 telah ditarik keluar dari kawasan sempadan, menurut seorang pegawai kanan jabatan negeri.

Pengunduran itu disifatkan oleh kumpulan utama Kurdish sebagai “tikam belakang” dan pengkritik mengatakan ia dapat memudahkan kebangkitan IS..

Malah, keputusan Trump meninggalkan Kurdish yang berisiko diserang Turki, yang menganggap golongan itu sebagai pengganas.

Tetapi Trump memberi amaran kepada Turki untuk tidak mengambil kesempatan di atas keputusannya – yang menentang nasihat pegawai kanan di Pentagon dan Jabatan Negara – dengan mengancam bahawa beliau boleh “memusnahkan dan menghancurkan” ekonomi Turki.

Tahun lalu, AS menaikkan tarif ke atas produk-produk Turki dan melaksanakan sekatan ke atas pegawai-pegawai tinggi susulan hubungan antara dua negara NATO itu semakin buruk disebabkan beberapa isu.

Erdogan telah berikrar untuk menyerang pemberontak Kurdish di kawasan sempadan dan mewujudkan zon selamat bagi 3.6 juta pelarian Syria yang kini menetap di Turki. – MalaysiaGazette