KUALA LUMPUR – Utusan Melayu mula berpindah ke Kuala Lumpur di Jalan Chan Sow Lin dari Singapura pada awal tahun 1958.
Pengasas, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Yusof Ishak mengakui beliau adalah manusia yang paling gembira kerana akhbar yang dipimpinnya itu telah melebarkan sayapnya ke ibu negara Malaya.
Sebagai pengasas Utusan Melayu, Yusof masih berpegang kepada tiga asas utama iaitu agama Islam, kebangsaan dan tanah air.
Yusof menyifatkan beliau dan petugas Utusan Melayu komited mempertahankan dan memperjuangkan ‘lidah Melayu’ sebagai hamba kepada orang Melayu.
Namun melewati tempoh waktu panjang selama 80 tahun, syarikat media itu akan mengucapkan selamat tinggal buat industri media tanah air.
Berdepan masalah kewangan sejak tahun lalu, gaji kakitangannya sering lewat dan pernah tertunggak selama tiga bulan pada tahun ini.
Malah memburukkan keadaan, Utusan Melayu terpaksa menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada 700 kakitangan, penjualan aset, edaran akhbar menjunam turun dan kegagalan sumbangan iklan tidak menepati sasaran.
Melangkah kaki ke kafetaria syarikat yang majoriti kakitangannya kaum Melayu, suasana sekitar masih seperti biasa. Cuma terasa suram seolah-olah mengiringi berita sedih yang diterima pagi ini.
Segelintir kakitangan menjamu selera sambil bergelak ketawa seolah-olah menghilang gundah di jiwa.
Sambil bergurau, mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan kerja-kerja mengemas di meja masing-masing.
Pada masa sama, terdapat kakitangan editorial sedang mengadakan mesyuarat dengan editor-editor kanan sebaik menerima memorandum pekeliling syarikat yang memaklumkan penutupan operasi bermula hari ini.
Berdepan realiti akhirnya, Utusan Melayu, syarikat akhbar tertua di Malaysia selepas 80 tahun akhirnya mengalah dan mengeluarkan edisi surat khabarnya yang terakhir semalam.
Akhbar yang terkenal dengan kewartawanan yang mantap dan pelbagai pendedahan eksklusifnya itu sampai ke hujung perjalanannya.
Utusan Melayu tewas kepada revolusi yang berlaku kepada industri media dengan perubahan teknologi yang berterusan.
Hari ini, pengakhiran kepada akhbar Melayu merupakan hari yang paling menyedihkan untuk kakitangan yang mencari rezeki selama ini.
Namun ramai percaya ‘nama’ Utusan itu akan kekal kukuh untuk mengembangkan operasi secara digital selepas ini.
Selamat tinggal Utusan Melayu – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: